Selebriti kebiasaannya tidak akan menggunakan nama sebenar mereka sebagai nama pentas. Ini bertujuan untuk meningkatkan lagi nilai komersial, di samping untuk menjaga identiti diri sendiri.
Di China, seorang penulis skrip, Wang Hailin mendakwa Pentadbiran Radio dan Televisyen Kebangsaan China (NRTA) telah melarang selebriti di sana daripada menggunakan nama dalam bahasa asing. Ini termasuk sekali dengan nama yang kelihatan asing.
Perkara ini dikongsikan individu tersebut menerusi akaun Weibo milknya. Sambung Wang, Yang Ying tidak boleh menggunakan nama Angelababy, dan La Mu Yang Zi perlu menggunakan nama China kerana ia kelihatan seperti nama Jepun.
Meskipun dakwaan ini belum disahkan secara rasmi oleh mana-mana pihak, hantaran La Mu Yang Zi di Weibo baru-baru ini mengesahkan bahawa berita ini adalah benar.
Selebriti itu berkata dia akan kembali kepada nama asalnya, Li Jiaqi. Dia sempat memberi pesan kepada peminatnya untuk memanggil dirinya Xiao La jika mereka mempunyai kesukaran dalam mengingati nama.
Peraturan mengejut ini ternyata tidak diterima baik oleh warganet China yang beranggapan ini adalah kerterlaluan. Ada juga yang mempersoalkan adakah larangan ini akan terpakai untuk lagu dan filem antarabangsa, atau hanya untuk selebriti sahaja.
Untuk menjawab persoalan ini, Wang berkata ia bukanlah peraturan baharu. Sebagai contoh, sejak 20 tahun lalu NRTA telah meminta agar sari kata drama tidak boleh mempunyai bahasa Inggeris. Misalnya, ‘Cindy’ perlu ditukar kepada ‘Xin Di’ yang sesuai dengan bahasa Cina.
Untuk rekod, sebelum ini beberapa nama dalam bahasa Inggeris pernah ditukar disebabkan oleh peraturan ini. Pada tahun lalu, laluan kereta api bawah tanah baharu di Beijing telah menukar nama ‘XX Station’ kepada ‘XX Zhan’, yang bermaksud stesen dalam bahasa Cina.
Kredit: Yahoo News
BACA: Kerajaan China Haramkan Selebriti, Influencers Tayang Harta & Kemewahan Di Media Sosial