Sabtu lepas, kita semua dikejutkan dengan DUA insiden bahan pembinaan yang besar dan berat terjatuh atas kenderaan. Satu, batu konkrit yang terjatuh dari flyover sedang dalam pembinaan di Lebuhraya SUKE dan satu lagi kejadian, bahan binaan yang diangkat oleh kren menara terjatuh di SS2, Petaling Jaya.
Dah macam musim, malam semalam, kejadian yang hampir sama turut berlaku di Taman Len Seng, Cheras bila cangkuk besi dari kren dipercayai telah terjatuh ke atas kereta yang memandu di depannya sebelum pemandu kren melarikan diri.
Insiden yang berlaku pada jam 8.30 malam ini melibatkan pemandu e-hailing berusia 55 tahun yang berjaya diselamatkan tanpa kecederaan.
Dalam gambar yang tular di media sosial, jelas menunjukkan bahagian belakang kereta remuk teruk sementara pasukan bomba menyiasat kejadian dan membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Menurut Berita Harian, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, pihak polis tak menemui barang yang menyebabkan kereta tersebut remuk.
Siasatan mendapati pemandu kereta itu membelok ke kiri untuk masuk ke Jalan Len Seng dari Cheras, lalu dirempuh sebuah kren dari belakang yang sedang bergerak di jalan sama.
“Akibat kemalangan itu, cangkuk kren itu menghempap bumbung kereta berkenaan. Pemandu yang tersepit dalam kereta dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba.
“Pemandu kren yang masih tidak membuat laporan polis dipercayai tidak memberhentikan kenderaannya dan bertindak meninggalkan kawasan kejadian.”
Siasatan lanjut juga turut tak menemui apa-apa serpihan objek yang menyebabkan kereta Saga tersebut rembuk teruk. Namun kes ini masih lagi dalam siasatan.
Syarikat Prolintas yang mengendalikan projek SUKE telah mengeluarkan kenyataan mengatakan kren yang melanggar kereta tersebut bukan dari projek yang sama dan meminta orang ramai untuk tidak kongsikan berita palsu dan menunggu kenyataan rasmi sebelum memberikan apa-apa komen.