Setiap hari mesti ada je kan cerita-cerita viral yang berlaku di Malaysia sampai kadang-kadang susah betul kita nak ikuti semua. Tapi pada masa yang sama kita pun tak naklah terlepas isu-isu semasa yang tengah berlaku sekarang ni kan?
Jadi macam biasa, #LobakMerahTOP5 akan senaraikan berita-berita hangat, sensasi dan viral yang berlaku pada minggu ini supaya korang sentiasa up-to-date dengan isu semasa yang berlaku di Malaysia sekarang.
1. Petinju Algeria undang kontroversi lepas pesaing tarik diri
Sejak dari semalam tular satu acara tinju yang berlangsung di Sukan Olimpik Paris 2024, di mana petinju wanita dari Itali, Angela Carini telah menarik diri daripada pertarungannya melawan Imane Khelif dari Algeria hingga mencetuskan satu kontroversi besar.
Angela dikatakan menarik diri selepas 46 saat perlawanan berlangsung dalam keadaan menangis teresak-esak selepas ditumbuk Imane yang menyebabkan tali pengikat dagunya terlepas dan tumbukan kedua pula menghentam dagunya hingga terpercik darah terkena seluarnya.
Kejadian ini mendapat perhatian ramai apabila Imane yang merupakan salah seorang daripada dua petinju dibenarkan bertanding di Sukan Olimpik, walaupun telah dikeluarkan daripada kejohanan dunia wanita tahun lalu kerana gagal dalam ujian kelayakan jantina.
Namun menurut laporan Daily Mail, Imane bukanlah seorang transgender dan dia telah didaftarkan sebagai seorang wanita ketika dilahirkan, malah pasportnya juga mengatakan dia seorang wanita.
Artikel berkaitan: Bertahun-tahun Tak Balik Rumah, Suami Terkejut Isteri & Anak Hanya Tinggal Rangka
2. Lelaki terkejut pulang rumah lihat anak dan isteri hanya tinggal rangka
Seorang suami terkejut menemukan dua rangka dipercayai isteri dan anaknya di dalam rumah selepas bertahun-tahun tidak pulang, dalam satu kejadian di Indonesia.
Menurut laporan media, lelaki yang bernama Mudjoyo Tjandra pulang semula ke rumah itu untuk mengambil barang miliknya.
Namun, ketika dia tiba di sana, dia mendapati rumah berkenaan telah dikunci dari dalam. Justeru, dia meminta bantuan orang kampung untuk memecahkan pintu rumah tersebut dan terus mencari kelibat dua beranak.
Bagaimanapun, keadaan bertukar hiba apabila si suami menemukan dua rangka manusia yang dipercayai isteri, Indah Hayati dan anak lelakinya, Elia Immanuel Putra yang terbaring di tempat tidur.
Menurut jiran di situ, mereka tak pernah bau yang mencurigakan dari rumah tersebut dan kali terakhir melihat Indah adalah sebelum pandemik melanda dunia
Artikel berkaitan: Bertahun-tahun Tak Balik Rumah, Suami Terkejut Isteri & Anak Hanya Tinggal Rangka
3. Ismail Haniyeh meninggal dunia
Satu berita duka buat umat Islam sedunia pagi ini apabila ketua politik pasukan pejuang Palestin Hamas, Ismail Haniyeh dilaporkan dibunuh di ibu negara Iran, Tehran.
Pimpinan Hamas dalam satu kenyataan berkata, mereka mengesahkan Ismail dibunuh dalam satu serangan rejim Zionis di kediaman beliau di Tehran.
Dalam pada itu, Al Jazeera melaporkan pengawal Revolusi Iran memaklumkan Ismail terbunuh bersama seorang pengawal peribadinya.
Kenyataan itu juga berkata, siasatan berhubung pembunuhan pemimpin H4m4s itu akan diumumkan tidak lama lagi.
Artikel berkaitan: Terkorban Dalam Serangan Di Iran, Jenazah Ismail Haniyeh Dikebumikan Di Qatar Hari Ini
4. Mahkamah putuskan pegawai kadet TLDM dibunuh
Mahkamah Tinggi Ipoh semalam memutuskan bahawa kematian pegawai kadet Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), J Soosaimanicckam pada enam tahun lepas sebagai kes bunuh (homisid).
Menurut Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed, punca kematian mangsa ialah edema pulmonari yang disebabkan Leptospirosis dan akibat langsung daripada tindakan pegawai TLDM yang bertanggungjawab bagi latihan kadet yang menafikan rawatan perubatan kepada Soosaimanicckam.
Tambahnya lagi, Koroner Ainul Shahrin Mohamad telah khilaf dalam mengumumkan ‘keputusan terbuka’ dalam kes itu tanpa menimbangkan semua bukti yang dikemukakan kepadanya.
Soosaimanicckam disahkan meninggal dunia pada jam 1.45 tengah hari pada 19 Mei 2018 di Hospital Angkatan Tentera Lumut selepas mengadu sakit dada dan sesak nafas di blok penginapannya setelah selesai menjalani latihan fizikal yang merupakan rutin harian pelatih.
Artikel berkaitan: Mahkamah Putuskan Kematian Pegawai Kadet TLDM 6 Tahun Lalu Sebagai Kes Bunuh
5. Presiden NGO ditangkap khalwat
Baru-baru ini, seorang presiden pertubuhan amal (NGO) ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) kerana disyaki berkhalwat selepas berdua-duaan dengan seorang wanita di bilik hotel di ibu negara.
Menurut laporan Harian Metro, pihak berkuasa mengesahkan lelaki tersebut berusia 40-an dan sudah berkahwin serta mempunyai anak, dia juga sangat aktif dalam mengutip derma bagi mengisi tabung Palestin menerusi pertubuhan miliknya, antara enam ke lapan tahun lalu.
Difahamkan, ketika pemeriksaan, lelaki berkenaan cuba melarikan diri dan memberikan alasan bertemu wanita itu untuk memberi barang kepadanya namun cubaannya gagal dan ditahan pegawai Jawi.
Dalam pada itu, lelaki berkenaan dikatakan pernah berkongsi pentas forum berhubung konflik di Palestin bersama seorang duta dari negara di Timur Tengah serta sangat lantang bersuara di media sosial berhubung isu peperangan Palestin-Israel.
Artikel berkaitan: “Lantang bersuara isu Palestin” – Presiden NGO Ditahan, Didakwa Berkhalwat