Lintasan Rafah antara Gaza dan Mesir akan dibuka semula bermula Ahad, namun hanya melibatkan pergerakan secara terhad.
Lintasan Rafah merupakan satu-satunya laluan masuk dan keluar Gaza yang tidak melalui Israel.
Laluan itu berada di bawah kawalan tentera Israel sejak Mei 2024 dan hanya dibuka secara terhad pada awal 2025 bagi tujuan tertentu.
Menurut pengumuman pihak Israel, keputusan itu dibuat selepas tekanan berbulan-bulan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), badan-badan kemanusiaan serta rakyat Palestin yang mendesak supaya laluan penting itu dibuka bagi meringankan krisis kemanusiaan di Gaza.
Sebelum ini, Israel enggan membuka Lintasan Rafah sehingga menerima kembali mayat tebusan terakhir, Ran Gvili, yang telah dikebumikan pada Rabu lalu, lapor Berita Harian.

Artikel berkaitan: Gelombang Ketiga Flotila Kini Dalam Perjalanan Ke Gaza, Apa Beza Dengan Dua Misi Sebelumnya?
Artikel berkaitan: Kronologi Perjalanan Global Sumud Flotilla 2025 Ke Gaza, Sebahagian Kapal Kini Ditahan Israel
Pada Jumaat, Hamas menyeru peralihan segera ke fasa kedua gencatan senjata yang disokong Amerika Syarikat, termasuk pembukaan penuh Lintasan Rafah serta kemasukan jawatankuasa teknokrat Palestin.
Menurut badan Kementerian Pertahanan Israel yang menyelia hal ehwal sivil di wilayah Palestin yang diduduki (COGAT), kemasukan dan keluar melalui lintasan itu hanya dibenarkan dengan koordinasi Mesir, kelulusan keselamatan Israel serta pemantauan Kesatuan Eropah (EU).
Pintu masuk berkenaan amat penting bagi penyaluran bantuan kemanusiaan, khususnya bahan api dan bekalan asas.
Perang Gaza tercetus susulan serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 yang mengorbankan 1,221 warga Israel, manakala lebih 71,600 penduduk Gaza dilaporkan terbunuh setakat ini.
Sumber: Berita Harian
