Penafian: Artikel ini mengandungi gambar/video/penulisan yang mungkin kurang menyenangkan bagi sesetengah orang. Kebijaksanaan pembaca amat diharapkan.
Walaupun banyak premis dan restoran yang tahu kesan yang akan dialami oleh mereka sekiranya tak menjaga kebersihan, tapi masih ramai yang abaikan.
Macam baru-baru ini, DBKL telah memuat naik beberapa gambar pusat penyembelihan ayam di Desa Tun Razak, Cheras selepas serbuan dibuat bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), Indah Water Konsortium (IWK) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) di premis berkenaan.
Menurut kenyataan di posting Facebook DBKL, pusat penyembelihan ayam tersebut telah diarah tutup kerana beroperasi dalam keadaan daif dan menjijikkan.
Semasa serbuan dibuat pada jam 1 pagi semalam, pihak DBKL menemui lantai dan dinding ruang pemprosesan penyembelihan ayam ini berkarat, berlumut dan berdaki hitam.
Tak cukup dengan itu, semua pekerja di sana yang kebanyakannya warga asing itu juga tidak mendapatkan suntikan tifoid serta gagal mempamerkan dokumen pengenalan.
Tiada sistem penapisan sisa efluen menyebabkan sisa buangan termasuk darah ayam dialirkan terus ke saliran atau longkang awam.
“Tandas turut kotor serta tiada kelangkapan asas. Malah ayam didapati diproses dan diletakkan di atas lantai.”
Ekoran ini, sebanyak dua kompaun telah dikeluarkan ke atas premis ini serta notis Perintah Penutupan Di bawah Akta Makanan 1983 – arahan pembersihan dan penambahbaikan berkuatkuasa 13 September 2022.
Selain itu, JAS WPKL turut mengambil sampel air untuk dianalisa serta penahanan operasi kelengkapan di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta 127.”
Baca: Gara-gara Lantai Tandas Sekolah Terlalu Kotor, Ada Pelajar Sanggup ‘Tahan Lapar’ & Makan Di Rumah