Ketika tahun 1968 saat filem Romeo & Juliet menjadi kegilaan, pelakon utama Olivia Hussey dan Leonard Whiting hanyalah remaja, filem arahan Franco Zeffirelli itu mendapat sambutan hangat dan dicalonkan untuk empat Anugerah Akademi.
Bagaimanapun, ia juga mencetuskan kontroversi mengenai adegan ranjang yang memaparkan imej punggung Whiting dan payudara Hussey tanpa seurat benang.
Pengarah mungkir janji
Kini, ketika usia mereka menjangkau 70-an, Hussey dan Whiting memfailkan tuntutan mahkamah di Mahkamah Tinggi Santa Monica pada Jumaat lepas dengan menuduh Paramount mengeksploitasi mereka secara seksual dan mengedarkan imej bogel remaja.
Saman itu mendakwa bahawa Zeffirelli (yang meninggal dunia pada 2019) telah memberi jaminan kepada kedua-dua pelakon itu bahawa tidak akan ada babak bogel dalam filem itu. Mereka juga dimaklumkan bahawa akan memakai pakaian dalam ikut warna kulit ketika melakukan adegan ranjang.
Tetapi pada hari-hari terakhir penggambaran, pengarah didakwa merayu mereka untuk tampil dalam keadaan bogel dengan sedikit solekan pada badan, “atau penggambaran itu akan gagal.”
Hussey berusia 15 tahun pada waktu itu dan Whiting berusia 16 tahun. Menurut aduan, Zeffirelli menunjukkan kepada mereka di mana kamera akan diletakkan dan memberi jaminan kepada mereka bahawa tiada adegan bogel akan diambil atau ditayangkan dalam filem itu.
Dalam kertas saman itu, pengarah itu didakwa tidak jujur, Whiting dan Hussey sebenarnya telah dirakam bogel tanpa pengetahuan mereka.
“Apa yang mereka diberitahu dan apa yang berlaku adalah dua perkara yang berbeza,” kata Tony Marinozzi, yang merupakan pengurus untuk kedua-dua pelakon tersebut.
“Mereka mempercayai Franco. Pada usia 16 tahun, sebagai pelakon, mereka menyakinkan bahawa dia tidak akan melanggar kepercayaan yang mereka ada. Franco adalah kawan mereka, dan terus terang, pada usia 16 tahun, apa yang mereka lakukan? Tiada pilihan. Tiada pegangan #MeToo.”
Menurut aduan itu lagi, Hussey dan Whiting telah mengalami tekanan mental dan tekanan emosi dalam tempoh 55 tahun sejak filem itu ditayangkan, mereka juga kehilangan peluang pekerjaan. Walaupun prestasi cemerlang mereka, Hussey dan Whiting hanya mempunyai kerjaya lakonan yang sangat terhad selepas “Romeo dan Juliet.” Lapor Variety.
Tuntut ganti rugi yang dikatkan melebihi $500 juta.
“Imej bogel kanak-kanak bawah umur adalah menyalahi undang-undang dan tidak sepatutnya dipamerkan,” kata peguam pelakon itu, Solomon Gresen, menerusi satu temu bual.
“Mereka adalah remaja naif yang sangat muda pada tahun 60-an yang tidak memahami apa yang akan menimpa mereka.Tiba-tiba mereka terkenal pada tahap yang tidak pernah mereka jangkakan, dan tambahan pula mereka dikhianat dengan cara yang mereka tidak tahu bagaimana untuk menanganinya.”
Buat masa ini, tiada sebarang respon yang dikeluarkan oleh pihak Paramount berkenaan dengan isu ini. Untuk rekod, dalam temu bual 2018 dengan Variety, Hussey mempertahankan adegan bogel itu.
“Tiada sesiapa seusia saya pernah melakukannya sebelum ini,” katanya, sambil menambah bahawa Zeffirelli merakamnya dengan penuh cita rasa dan menyatakan bahawa ia diperlukan untuk filem itu.
Dalam satu lagi wawancara 2018 dengan Fox News, dia berkata bahawa adegan itu adalah “tabu” di Amerika, tetapi adegan bogel itu sudah biasa dalam filem Eropah pada masa itu.