Seorang pengawal keselamatan di Jilin, China dipersalahkan selepas menyelamatkan seorang gadis yang terjun daripada bangunan, yang turut menyelamatkan nyawa gadis itu.
Selamatkan orang terjun bangunan
Qu Yan ialah seorang pengawal keselamatan yang bekerja di sebuah hospital. Dia menerima laporan berkenaan seorang wanita yang mahu terjun dari tingkat empat bangunan.
Selepas mendengar berita tersebut, dia bergegas ke lokasi kejadian dan melihat orang ramai berkerumun di di situ.
Difahamkan, gadis tersebut sudah berada di balkoni bangunan dan alatan penyelamatan masih belum tiba. Secara tiba-tiba, gadis tersebut terjun dan Qu Yan bertindak menghulurkan tangannya untuk menyelamatkan gadis itu.
Selepas kejadian itu, Qu Yan dilaporkan cedera parah dan terlantar di hospital kerana mengalami banyak kecederaan. Manakala wanita tersebut turut mengalami kecederaan namun tidak serius.
Dipersalahkan keluarga mangsa
Bagaimanapun, niat baik Qu Yan ternyata tidak dihargai oleh keluarga wanita tersebut. Difahamkan, mereka langsung tidak melawat Qu Yan di hospital, sebaliknya mengkritik tindakan Qu Yan yang didakwa punca kepada kecederaan anaknya itu.
“Apa yang telah kamu lakukan? Anak kami macam ini sekarang. Anak kami cacat, apa-apa yang berlaku terhadapnya, kamu perlu bertanggungjawab seumur hidup”, kata salah seorang ahli keluarga wanita itu.
Keluarga gadis tersebut mendakwa Qu Yan adalah punca kepada apa yang terjadi terhadap anak mereka. Tindakan keluarga ini ternyata mendapat kecaman ramai pihak yang menuduh mereka tidak bersyukur dengan tindakan pantas Qu Yan.
Dibuang kerja & tiada duit
Nasib malang Qu Yan tidak berhenti di situ sahaja. Dilaporkan, lelaki ini tidak mempunyai wang yang cukup untuk menampung perbelanjaan hospitalnya.
Syarikat yang dia bekerja juga tidak menampung kos rawatan Qu Yan meskipun kejadian tersebut berlaku semasa waktu bekerja.
Tidak cukup dengan itu, dia juga dilaporkan telah dibuang kerja kerana sudah beberapa hari tidak masuk bekerja. Bagaimanapun, masih ada beberapa pihak yang menghulurkan bantuan kepadanya selepas kisah ini tular di sana.
Dalam satu kenyataan, Qu Yan berkata dia tidak pernah menyesal menyelamatkan nyawa gadis itu meskipun ia memberi banyak kesan buruk kepada dirinya. Dia turut mengucapkan rasa bersyukur kepada individu yang menghulurkan bantuan buat dirinya.
Jadi baik pun susah sekarang ni…
Kredit: Mothership
BACA: Karen Versi Lelaki Maki ‘F**k Off’ Dekat Pak Guard Kerana Enggan Pakai Pelitup Muka