Seorang lelaki warganegara Jerman baru-baru ini telah menjadi ‘muka hadapan’ di beberapa portal berita seluruh dunia termasuk Mirror, CBS News, SCMP dan lain-lain kerana dipercayai telah tertangkap diatas satu kesalahan menjual ‘kad’ atau status ‘telah divaksinasi’ kepada orang ramai.
Lelaki berusia 60 tahun yang tidak didedahkan identiti tersebut difahamkan berasal dari Magdeburg dan dipercayai telah mengambil sejumlah 90 suntikan vaksinasi atas tujuan untuk ‘diniagakan’.
Menurut laporan Mirror, lelaki tersebut akan ‘walk-in’ ke pusat pemberian vaksin setiap hari untuk menerima suntikan vaksin. Dia kemudiannya dipercayai akan menjual kad vaksinasi yang diterimanya kepada golongan yang enggan menerima vaksin melalui internet.
Atas faktor privasi, nama dan identiti lelaki berkenaan tidak didedahkan kepada umum. Namun, difahamkan dia sedang dalam siasatan pihak berkuasa disana.
Menariknya, lelaki ini difahamkan telah sebulan menjalankan kegiatan ini dan menurut sumber, dia telah mendapat suntikan vaksin di beberapa pusat pemberian vaksin di Saxony dalam tempoh beberapa bulan.
Baru-baru ini, difahamkan dia akhirnya tertangkap selepas cuba untuk mendapatkan suntikan vaksin di pusat pemberian vaksin yang sama untuk hari kedua berturut-turut.
Dalam masa yang sama, pihak polis telah merampas beberapa kad vaksinasi kosong daripada lelaki berkenaan dan prosiding jenayah telahpun dimulakan.
Apa yang menghairankan pihak berkuasa adalah, kad atau sijil vaksinasi palsu yang ditemukan pada lelaki ini mempunyai nombor batch vaksinasi yang asli.
Walaupun begitu, kesan pengambilan kira-kira 90 vaksin pelbagai jenis terhadap lelaki berkenaan masih tidak dapat ditentukan dan setakat ini agensi berita tempatan melaporkan bahawa lelaki berusia 60 tahun tersebut tidak ditahan tetapi disiasat atas dakwaan memalsukan sijil vaksinasi dan mengeluarkan kad vaksinasi tanpa kebenaran.
Selain itu, tindakan lelaki ini masih menjadi tanda tanya kerana pihak polis tidak mendedahkan sama ada lelaki ini menerima sebarang bayaran oleh pihak ketiga atau jumlah bayaran yang diterimanya untuk satu-satu sijil palsu yang dijual.
Untuk pengetahuan, ketika ini situasi semasa di Jerman agak menggusarkan dan masih ramai golongan yang menolak untuk terima suntikan vaksinasi. Walaupun begitu, pihak berkuasa disana telah menetapkan hanya individu yang mempunyai sijil vaksinasi sahaja mempunyai akses ke tempat awam seperti restoran, teater, kolam renang dan tempat kerja.
Baca : Sijil Vaksin Digital MySejahtera Kini Diiktiraf Oleh Kesatuan Eropah