Seluruh rakyat Malaysia kini mendoakan mereka yang terkesan dengan bencana banjir yang berlaku sejak Ahad lepas, hari ini dikhabarkan keadaan tempat yang terkesan dengan banjir semakin pulih.
Dalam perkongsian Astro AWANI, seorang lelaki difahamkan sanggup tidak berpindah dari rumahnya ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dungun, Terengganu demi 9 ekor kucing peliharaannya walaupun rumah ditenggelami air.
Muhammad Junaidi Ismail memberitahu, dia bimbang keselamatan sembilan ekor kucing peliharaannya jika ditinggalkan.
Dalam laporan yang sama, difahamkan kawasan rumah lelaki berkenaan sudah dinaiki air dan disebabkan kucing-kucingnya itu terlalu banyak dia enggan berpindah ke PPS kerana risau akan mengganggu ketenangan mereka yang berada di situ.
Pada masa yang sama dia bimbang haiwan peliharaanya dihanyutkan arus sekiranya ditinggalkan bersendirian di rumahnya di Kampung Pinang Merah, Dungun.
“Kucing ini kalau dibiar begitu sahaja takut berlakunya air pasang, kita tak tahu.
Sekarang ini ada sembilan ekor, semalam seekor telah mati di bawah rumah. Kita nak turun pun takut sebab arus laju semalam, paras air naik sampai ke dahi,” katanya.
Selain itu, Muhammad Junaidi juga memberitahu ini merupakan banjir yang terburuk pernah dialami sepanjang dia tinggal di situ.
Baca: “Tiada pilihan lain” – Penduduk Terpaksa Bancuh Susu Anak Dengan Air Banjir