in

Lelaki Ditemui Meninggal Seorang Diri Bersama Sepasang Baju Melayu Yang Masih Tergantung Dalam Bilik

baju melayu kemas tergantung

Aidilfitri selalu menjadi kenangan indah, terutamanya buat yang meraikannya bersama yang tersayang. Namun begitu, tidak semuanya yang menyambut hari raya dalam suasana gembira.

Sebagai seorang post-cleaner trauma yang juga dikenali sebagai pembersihan forensik di Singapura, sudah menjadi lumrah tugasannya membasmi sisa mayat dan membersihkan ruang kawasan tercemar.

Namun, satu kes ini telah memberi kesan kepada pekerja pembersihan forensik yang berlaku dua hari sebelum menjelangnya 1 Syawal.

Menerusi akaun TikTok DDQ Services, agensi itu berkongsi kisah membersihkan lokasi kejadian membabitkan seorang lelaki tua yang tinggal bersendirian ditemukan meninggal dunia.

@

♬ –

Bilik dipenuhi air bertakung hingga paras buku lali

Ketika itu, mereka ditugaskan untuk menyelia pembersihan sebuah bilik sewa yang dihuni seorang lelaki tua berbangsa Melayu.

“Ditugaskan untuk membersihkan sebuah bilik sewa di atas rumah kedai berikutan penemuan mayat seorang lelaki tua berbangsa Melayu yang meninggal dunia bersendirian.

“Mayatnya hanya dapat dikesan apabila pemilik kedai di bawah terhidup bau busuk dan air yang bercampur dengan cecair mayat meresap ke siling premisnya,” tulisnya.

Menurutnya, mereka terkejut melihat keadaan yang sangat mengerikan, tapi pada masa yang sama berasa pilu ketika memasuki bilik yang didiami lelaki tua itu.

“Bilik itu dipenuhi dengan takungan air sehingga ke paras buku lali kerana saluran perparitan sudah tersumbat. Air yang bertakung adalah daripada campuran air kumbahan, cecair dari mayat dan cebisan yang mereput.

“Ada ulat-ulat sampah berenang. Sangat meruntun jiwa melihatnya,” tulisnya lagi.

Ketika membersihkan bilik itu, mata tertumpu pada sepasang baju Melayu yang kemas tergantung di sudut bilik.

“Ada baju Melayu, samping yang tergantung kemas dan sepasang kasut yang sudah tersedia, seolah lelaki itu tidak sabar untuk menyambut hari raya.”

Walaupun pada awalnya keadaan bilik itu agak mengerikan, namun bertukar pilu apabila melihat pakaian raya itu.

Dalam pada itu, pemilik kedai mengatakan arwah tidak mempunyai keluarga atau saudara-mara tetapi dia tetap teruja menantikan ketibaan Aidilfitri walaupun tiada siapa-siapa.

Tambahnya, arwah juga berkongsi hasratnya untuk memiliki sebuah rumah sendiri, satu impian yang hampir menjadi realiti.

Mereka mengakhiri kisah lelaki tua itu dengan mengingatkan betapa pentingnya untuk menghargai mereka di sekeliling, mengeratkan hubungan persaudaraan dan saling bantu-membantu insan yang memerlukan.

Baca: Ibu Sanggup Naik Bas Dari Selangor Ke Melaka Demi Sambut Anak Keluar Dari Penjara
ibu jemput anak dari penjara