Tidak lama lagi, kita bakal mendapat kad pengenalan baharu bagi menggantikan kad pengenalan sedia ada iaitu MyKad yang dikeluarkan sejak 2012.
Hal ini berikutan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kini dalam fasa akhir untuk memuktamadkan perolehan MyKad dengan struktur baharu.
Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, penggantian kad pengenalan struktur baharu itu bertujuan memastikan kad pengenalan yang bakal dikeluarkan JPN kelak mempunyai ciri keselamatan tinggi.
Artikel berkaitan: Ada Huruf K & H, Ini Perbezaan Kad Pengenalan Orang Sabah & Sarawak Dari Semenanjung
Artikel berkaitan: [VIDEO] Lelaki Dedah Pernah 4 Hari Tidur Lokap & Dipenjara 1 Hari, Gara-gara Keluar Tak Bawa IC
MyKad generasi baharu ada ciri lebih canggih
Kad pengenalan baharu ini juga membendung sebarang cubaan untuk memalsu dan menyalahgunakan MyKad yang menjadi dokumen penting bagi rakyat Malaysia.
MyKad generasi baharu ini bakal hadir dengan rekaan lebih moden serta elemen seperti tulisan laser dan hologram. Ia juga diperbuat daripada bahan ‘polycarbonat’ yang sudah diuji ketahanannya di makmal bertauliah.
“Ia turut dilengkapi dengan ciri keselamatan berkapasiti storan yang lebih besar dengan piawaian keselamatan yang dipertingkatkan. Kad ini kita buat untuk bendung masalah pemalsuan kad pengenalan dan kebocoran data.
“Ciri keselamatan terkini itu diyakini mampu mengatasi isu pemalsuan,” jelas beliau.
Ketua Pengarah JPN, Badrul Hisham Alias sebelum ini dilaporkan berkata, semua fungsi MyKad jenis lama akan dimansuhkan sebaik MyKad generasi baharu diperkenalkan bagi mengatasi isu pemalsuan kad identiti kewarganegaraan.
Difahamkan, JPN sedang menjalankan kajian pasaran bagi memastikan pelaksanaan MyKad baharu itu memenuhi prinsip nilai faedah terbaik bagi kos penggantian.
Sumber: Buletin TV3