Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggali semula kubur Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir hari ini bagi melengkapkan siasatan kes pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Limauan, Papar itu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, proses ini dilakukan selepas menerima arahan rasmi daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) semalam.
“Memandangkan kita baru menerima arahan, pagi tadi saya sudah diberi taklimat oleh Ketua Polis Negara dan kita akan melakukan proses gali kubur secepat mungkin.
“Sudah tentu kita akan fokus mengemaskini siasatan serta mengumpul semua bukti. Polis tidak akan berkompromi dengan prinsip keadilan. Kita harus berlaku adil kepada semua pihak, sama ada arwah Zara, ahli keluarganya atau pihak sekolah,” katanya, lapor Berita Harian.
Artikel berkaitan: Mahukan Keadilan Buat Adik Zara Qairina, Ribuan Peserta Sertai Himpunan Solidariti Di Sabah
Artikel berkaitan: Sebar Maklumat Palsu Tentang Kes Zara Qairina, KPM Sudah Buat 10 Laporan Polis

Dalam masa sama, peguam keluarga, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri dalam satu kenyataan media memaklumkan bahawa permohonan perintah untuk menggali kubur akan didengar di mahkamah antara jam 1.00 hingga 1.30 tengah hari ini.
“Penggalian kubur akan dilakukan pada petang ini selepas perintah diperoleh. Doakan perjalanan semua perkara ini dipermudahkan Allah SWT,” kata mereka.
Semalam, AGC dalam satu kenyataan menjelaskan, penggalian semula kubur diperlukan bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan secara menyeluruh oleh PDRM.
Saifuddin Nasution berkata, pihaknya memberi jaminan bahawa proses ini akan dijalankan segera dan pihaknya akan memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa.
Kes Zara Qairina sebelum ini menjadi perhatian selepas pelajar berusia 13 tahun itu dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya pada 31 Julai lalu.
Mangsa disahkan meninggal dunia pada hari yang sama akibat kecederaan parah.
Kematian ini mencetuskan pelbagai persoalan dalam kalangan masyarakat dan keluarga, termasuk dakwaan wujud unsur buli.
Susulan itu, PDRM membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi menyiasat kemungkinan pembunuhan.
Semalam, himpunan besar-besaran telah diadakan bagi menunjukkan solidariti dan menuntut keadilan untuk Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.