in

Kronologi Kes Pembunuhan Kadet Zulfarhan Yang Bermula Dengan Kehilangan Sebuah ‘Laptop’

Collage 44

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Semalam, Mahkamah Rayuan telah menjatuhkan hukuman gantung terhadap enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang telah membunuh Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain, tujuh tahun lalu.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Hadhariah Syed Ismail telah sebulat suara untuk hidupkan semula pertuduhan asal iaitu Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Tak cukup dengan itu, Datuk Hadhariah turut mengecam kekejaman yang berlaku dalam kes ini dengan mengatakan tak ada ibu bapa yang tak akan rasa kecewa, marah, sedih dan hiba apabila menerima jenazah anak dalam keadaan yang sangat tragik.


24Bh02Wa 1721786480

Kes ini adalah satu kes jenayah kekejaman yang paling jarang ditemui melibatkan kekejaman yang ekstrem dan merbahaya kepada masyarakat dan tindakan tidak berperikemanusiaan ini perlu dihentikan.

“Mahkamah tidak akan bertoleransi dengan insiden seperti ini. Ibu bapa mana yang sanggup menahan seksaan melihat anak kesayangan diseksa sebegitu sehingga membawa kepada kematian yang begitu mengerikan?”

Kronologi kes pembunuhan Kadet Zulfarhan

4476202C66520316Cca3B99B4560E451.Webps600

Sebuah komputer riba telah hilang di UPNM dan satu khidmat bomoh telah digunakan untuk mengesan siapa pencuri tersebut dan nama arwah telah disebut.

Kemudian pada 13 Mei 2017, Zulfarhan telah dipukul buat kali pertama di Bangunan Jebat, Asrama UPNM kerana disyaki mencuri laptop milik rakannya namun mangsa tak mengaku membuat perkara tersebut.

Pada 20 Mei 2017, mangsa sekali lagi dipanggil untuk ke bilik 4-10 Bangunan Jebat untuk disoal siasat berkaitan kehilangan komputer riba tersebut.

Disebabkan mangsa telah menafikan pertuduhan tersebut, dia telah dipukul beramai-ramai oleh 20 hingga 30 orang pelajar dengan menggunakan pelbagai objek seperti seterika wap, tali pinggang, getah paip dan penyangkut baju sehingga jam 11 pagi 21 Mei.

Beberapa hari selepas dipukul, mangsa yang masih dalam keadaan lemah telah dibawa untuk menerima rawatan menggunakan kenderaan persendirian ke sebuah klinik swasta yang terletak di Bandar Baru Bangi, Seksyen 7 pada 27 Mei. Mangsa kemudiannya telah dibenarkan pulang dan diminta untuk menjalani rawatan lanjut pada 31 Mei.

Ekoran keadaan mangsa yang tak semakin baik, pada 30 Mei 2017, dia telah dipindahkan ke sebuah kondominium di Bangi untuk berehat di sana oleh dua suspek yang membulinya.

Pada 1 Jun 2017, Zulfarhan dilaporkan telah meninggal dunia pada jam 0.10 di kondominium tersebut sebelum pengawal keselamatan memaklumkan kepada polis. Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Serdang dengan ambulans sebelum kematiannya disahkan.

Perbicaraan kes Zulfarhan

Eaylpsruiaet0Rd

14 Jun 2017

Seramai 19 orang pelajar UPNM dipercayai terlibat telah dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan. Kesemua pelajar mengaku tidak bersalah.

Enam daripada suspek ini bagaimanapun telah dituduh membunuh dan bersubahat membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama dan akan mendapat hukuman mandatori sekiranya disabit kesalahan.

15 September 2017

Kes enam pelajar UPNM yang didakwa atas pembunuhan Zulfarhan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

27 Oktober 2017

Pihak pendakwa raya memohon agar kes 19 pelajar UPNM dipindahkan dan dibicarakan di Mahkamah Tinggi bersama-sama enam tertuduh.

10 November 2018

Enam pelajar UPNM yang didakwa atas pembunuhan Zulfarhan mengaku tidak bersalah di hadapan Mahkamah Tinggi.

13 November

Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan pihak pendakwa raya untuk kes 19 pelajar UPNM didengarkan sekali dengan kes pembunuhan Zulfarhan.

29 Januari 2018

Hari pertama perbicaraan kes bunuh didengari di Mahkamah Tinggi oleh Hakim Datuk Azman Abdullah.

8 Julai 2019

Mahkamah Tinggi menetapkan 31 Julai untuk keputusan melibatkan 19 pelajar UPNM yang telah didakwa atas pertuduhan membunuh dan bersubahat atas pembunuhan Zulfarhan selepas pendakwa raya memanggil 29 saksi.

31 Julai 2019

Seramai 18 orang penuntut UPNM yang berusia 25 tahun diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan Osman.

Keputusan dibuat Hakim, Datuk Azman Abdullah yang mendapati pihak pendakwaan membuktikan kes prima facie pada akhir sesi pendakwaan.

Susulan itu, bapa Zulfarhan dilihat melakukan sujud syukur di luar kamar selepas mendengar keputusan hakim.

Hanya seorang tertuduh bebas mutlak iaitu Muhammad Akmal Akif Alias yang dilepaskan tanpa dipanggil membela diri bagi pertuduhan mencederakan mangsa.

2 Oktober 2019

Mahkamah mengarahkan 18 dari 19 tertuduh dalam kes kematian Allahyarham Zulfarhan membela diri. Kes membela diri bermula di mana 20 saksi memberi keterangan.

8 April 2021

Pembelaan menutup kes.

1353815

2 November 2021

Keputusan akhir dibacakan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azman Abdullah yang mana enam tertuduh didapati bersalah di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan bersubahat membunuh.

Seramai 12 yang lain pula didapati bersalah di bawah Seksyen 330 Kanun Keseksaan kerana mencederakan Allahyarham.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun ke atas enam penuntut UPNM yang didapati bersalah menyebabkan kematian tanpa niat.

Keenam-enam tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda jika disabitkan bersalah.

12 lagi tertuduh yang disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan kerana mencederakan Allahyarham Zulfarhan dikenakan hukuman penjara tiga tahun.

14 Mei 2024

Timbalan Pendakwa Raya, Solehah Noratikah Ismail selaku responden dalam rayuan silang ini berkata, dapatan hakim Mahkamah Tinggi menyatakan berlaku kecederaan terhadap Zulfarhan menunjukkan ia dilakukan oleh perayu-perayu berkenaan.

Beliau menghujahkan bahawa, elemen pertuduhan telah dibuktikan, yang mana ia adalah berdasarkan kehilangan komputer riba sehingga menjurus kepada kejadian pukul.

Katanya, tiada sebarang percanggahan material yang menunjukkan keterangan melimpah ruah terhadap semua perayu, melibatkan kecederaan kepada Zulfarhan.

Bagi kes pemerasan pula, Zulfarhan dituduh mencuri dan kejadian mencederakan tubuh mangsa, berlaku bagi mendapatkan pengakuannya.

Mahkamah mendengar rayuan silang 12 orang pelaku yang menyebabkan kecederaan kepada Allahyarham Zulfarhan.

16 Mei 2024

Mahkamah menyampaikan keputusan terhadap rayuan 12 lagi bekas penuntut universiti sama yang dihukum penjara tiga tahun kerana mencederakan Zulfarhan mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan.

Mereka didapati bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

23 Julai 2024

Hukuman penjara 18 tahun ditolak, enam tertuduh digantung sampai mati.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail membuat keputusan itu secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengembalikan semula tuduhan bunuh terhadap mereka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mahkamah memutuskan hanya satu hukuman terhadap keenam-enam OKT iaitu mereka perlu dibawa ke suatu tempat penggantungan yang mana mereka akan digantung sampai mati.

“Rayuan pendakwaan dibenarkan, hukuman penjara selama 18 tahun ditolak,” kata Hadhariah yang bersidang bersama-sama Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin.

Pertuduhan terhadap enam tertuduh dibuat di bawah Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Baki 12 yang lain pula dibicarakan di bawah Seksyen 330 Kanun Keseksaan yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Sumber: Harian Metro, Bernama, Malay Mail

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.