Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), dengan kerjasama TikTok Shop Malaysia, telah melancarkan Pesta #JomLokal 2025 sebagai sebahagian daripada inisiatif Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM). Pesta ini bertemakan “Merancakkan Ekonomi Usahawan Malaysia” dan telah dilancarkan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Datuk Dr. Fuziah Binti Salleh.
Majlis pelancaran baru-baru ini, menghimpunkan pelbagai pihak seperti usahawan PMKS, pencipta kandungan digital, dan agensi kerajaan yang berkaitan dengan tujuan untuk memperkukuh ekosistem e-dagang negara.
Selain itu, e-dagang kini dianggap sebagai satu keperluan dan bukan lagi pilihan dalam landskap ekonomi semasa. Melalui inisiatif #JomLokal oleh TikTok Shop, produk buatan Malaysia mendapat peluang baharu untuk dipasarkan di seluruh negara.
Kerajaan menyambut baik inisiatif TikTok Shop yang melancarkan pakej rangsangan #JomLokal Booster bernilai RM20 juta untuk memperkasa ribuan usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
Pakej rangsangan ini termasuk bantuan untuk mengurangkan sebahagian kos operasi, pendedahan tambahan, latihan intensif, serta sokongan ekosistem dan infrastruktur seperti fasiliti TikTok Shop LIVE Hub.
Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) merupakan teras utama penganjuran Pesta #JomLokal, dengan fokus kepada kepentingan menyokong produk tempatan sebagai lambang identiti, maruah, dan kebanggaan nasional.
Dengan lebih 1.8 juta penjual tempatan dan 3.8 juta pencipta kandungan di TikTok Shop Malaysia, Pesta #JomLokal 2025 dijangka memberi impak besar dalam memperkasa usahawan tempatan, meningkatkan daya saing produk Malaysia, dan mengangkat KBBM sebagai gerakan rakyat.
Dalam masa yang sama, KPDN menekankan keperluan untuk komuniti penjual mengamalkan prinsip-prinsip berikut sebagai amalan terbaik bagi membina ekosistem e-dagang yang lebih berdaya tahan:
- Ketelusan
- Etika perniagaan
- Perlindungan pengguna
- Self-regulation
KPDN kekal komited untuk memastikan setiap usaha ini dapat memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, sekaligus menjadikan Malaysia sebuah ekosistem digital yang selamat, telus, beretika, dan mampan.