in

Kisah Tragis Budak 5 Tahun, Sempat Minta 20 Sen Beli Aiskrim Sebelum Digilis Lori

Budak Maut Digilis Lori

Petang semalam, satu kemalangan tragis melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun berlaku di Kampung Paya Mengkuang, Batang Tiga, Melaka apabila mangsa dilaporkan telah digilis sebuah lori berdekatan rumahnya.

Menurut Berita Harian, dalam kejadian yang berlaku pada 5.25 petang itu, mangsa, Nur Qayra Quraisya Muhammad Qayyum yang juga seorang murid tadika telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Digilis ketika bermain di celah pokok 

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kemalangan berlaku di simpang tiga dan kanak-kanak perempuan itu sedang bermain bersama saudaranya di sekitar tempat kejadian di celah pokok.

Ketika lori berkenaan ingin keluar simpang dan pemandunya sudah memastikan keadaan selamat untuk keluar, tiba-tiba kanak-kanak itu dikatakan datang dari celah pokok dan berlari ke arah lori yang sedang bergerak.

“Akibatnya pemandu yang tidak perasan kehadiran mangsa terlanggar mangsa hingga maut di tempat kejadian,” jelasnya.

349120610 1012765983465868 4523692293822432182 N

Pihak polis juga berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka (HM) untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Manakala pemandu lori berusia 37 tahun itu pula dibawa ke bahagian kecemasan hospital untuk diambil sampel darah bagi mengesan kandungan alkohol dan dadah.

Mangsa sempat minta 20 sen beli aiskrim 

Dalam pada itu, bapa mangsa, Muhammad Qayyum Abdul Aziz, 37, meluahkan rasa terkilan atas apa yang menimpa anaknya dan mengatakan sempat berjumpa dengan mangsa yang meminta 20 sen untuk membeli aiskrim.

Menurut Kosmo, Qayyum memberitahu yang kejadian itu berlaku selepas anak bongsu dari tiga adik beradik pulang dari tadika dan menjadi rutin hariannya singgah ke rumah nenek untuk bermain dengan sepupu di kawasan berdekatan.

349302005 608021224625477 5768459828565292649 N

Masa tu saya tengah buat kerja-kerja kontraktor di sebuah rumah berdekatan rumah emak, tiba-tiba adik (Nur Qayra) datang bersama sepupunya meminta 20 sen untuk membeli aiskrim.

“Saya berikan kepada mereka dan menyuruh pulang ke rumah selepas membeli aiskrim kerana cuaca panas lalu menyambung semula kerja.

“Tidak lama lepas tu saya dengar bunyi riuh berhampiran rumah mak kerana ada kemalangan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Melaka.

Qayyum pada masa yang sama tidak menyangka mangsa kemalangan tersebut merupakan anaknya sendiri, malah lori yang terlibat juga merupakan kontraktor yang membawa muatan pasir bagi kerja binaannya.

“Saya tak sangka 20 sen itu jadi permintaan terakhir yang dapat ditunaikan. Dalam seminggu ni dia memang banyak menguji kesabaran saya dengan sikap merengek-rengek mahukan sesuatu, termasuklah minta untuk main di ‘fun fair’ di Klebang.

“Saya pula memang cuti pada waktu itu dan banyak meluangkan masa dengannya, memang dia anak yang manja,” katanya lagi.

Gilis 20 Sen

Beliau dengan isterinya, Faezah Kadir walau bagaimanapun reda dengan apa yang berlaku dan berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan emosi keluarga.

Jenazah anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Kampung Padang, Malim dan kes tersebut disiasat Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Al fatihah buat mangsa… 

Baca: Tragedi Menjelang Aidilfitri: Tunggu Anak Cucu Tak Kunjung Tiba, Rupanya Maut Kemalangan

Accident

Sumber: Facebook
Sumber: BH
Sumber: SH