Ramadan adalah bulan istimewa yang sangat dinanti-nantikan oleh umat Islam. Ini kerana, pada bulan ini kita diberikan kesempatan dan peluang untuk lebih mendekatkan diri dengan Allah.
Selain dari itu, banyak peristiwa penting dalam sejarah Islam berlaku pada bulan Ramadan di mana kita sebagai orang Islam patut ambil tahu dengan mengingati perkara yang memberikan kesan yang besar kepada agama.
1. Ayat Al-Quran pertama diturunkan
Ramadan merupakan bulan di mana ayat Al-Quran pertama telah diturunkan kepada Rasulullah SAW dan seterusnya secara berperingkat sebagai panduan dan bukti jelas menunjukkan perbezaan antara yang benar dan yang salah.
Sebelum menjadi nabi, Rasulullah gemar menyepikan diri di Gunung Hira dan pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraannya, baginda telah didatangi Jibril yang mengajar baginda untuk membaca lima ayat pertama dari surah al-Alaq.
Dalam tempoh 23 tahun seterusnya, Rasulullah terus mendapat wahyu Al-Quran sehingga keseluruhan mukjizat terbesar baginda ini diturunkan.
2. Kewafatan Khadijah RA dan Abu Talib
Wanita dan orang pertama memeluk Islam dan juga isteri kesayangan baginda selama 23 tahun telah wafat pada bulan Ramadan.
Saidatina Khadijah telah wafat 10 tahun selepas ayat Al-Quran pertama diturunkan iaitu pada 11 Ramadan di pangkuan Rasulullah SAW.
Tak lama selepas itu, bapa saudara kesayangan Rasulullah, Abu Talib turut meninggal dunia. Kehilangan dua orang kesayangan baginda ini merupakan perkara yang sangat berat buat Rasulullah sehingga tahun tersebut dipanggil sebagai “Tahun Kesedihan”.
3. Lailatul Qadr
Lailatul Qadr merupakan ‘Malam Kekuasaan’, ia adalah antara malam terpenting dalam bulan Ramadan. Di mana pada malam Lailatul Qadr ibadah yang dibuat adalah lebih baik dari amalan dan ibadah yang dibuat untuk seribu bulan.
Bagaimanapun, tarikh sebenar tidak didedahkan namun ramai ulama percaya malam Lailatul Qadr jatuh pada malam ganjil pada 10 malam terakhir Ramadan.
Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!” (Al-qadr 1-5)
4. Perang Badar
Perang Badar merupakan perang terpenting dalam sejarah Islam. Ini kerana, ia merupakan peperangan pertama yang berlaku dalam Islam dan perang besar buat Rasulullah dan para sahabat.
Perang Badar berlaku pada 17 Ramadan tahun kedua hijrah bersamaan 624 Masihi. Ketika perang ini, tentera Islam seramai 313 orang telah berhadapan dengan 1,000 tentera musyrikin Mekah.
Namun Allah telah menurunkan malaikat untuk membantu umat Islam sehingga mencapai kemenangan. Perang Badar ini juga menyaksikan musuh Rasulullah, Abu Jahal dibunuh.
5. Kewafatan Saidatina Aisyah RA
Aisyah merupakan antara isteri yang sangat dicintai oleh Rasulullah SAW. Beliau merupakan anak kepada khalifah pertama umat Islam iaitu Abu Bakar al Siddiq RA.
Aisyah juga merupakan isteri Rasulullah yang faqih, alim, cerdik dan banyak meriwayatkan hadith Rasulullah. Malah beliau sering menjadi rujukan para sahabat untuk bertanya soal agama.
Aisyah wafat di Kota Madinah pada tahun 57 Hijrah pada bulan Ramadan. Abu Hurairah RA telah mensolatkan jenazahnya dan lima orang sahabat Abdullah bin al-Zubair, Urwah bin al-Zubair, al-Qasim bin Muhammad, Abdullah bin Muhammad bin Abi Bakar dan Abdullah bin Abdulrahman bin Abi Bakar telah turun ke kubur Aisyah RA.
6. Penaklukan Kota Mekah
Enam tahun selepas Perang Badar ketika tahun ke-8 Hijrah, Nabi Muhammad SAW telah menawan Kota Mekah secara aman. Orang-orang Quraisy dan Orang Islam telah menandatangani Perjanjian Hudaybiya di mana orang Islam dibenarkan untuk menziarah Kaabah dengan aman.
Namun begitu, orang Quraisy telah melanggar syarat perjanjian tersebut sehingga Rasulullah telah berangkat ke Mekah dengan 10,000 tentera dan menakluki Kota Mekah dengan aman.
7. Perang Ain Jalut
Peperangan Ain Jalut berlaku pada 25 Ramadhan 658 Hijrah bersamaan 3 September 1260 Masihi. Peperangan ini menyaksikan pertempuran yang hebat di antara kerajaan Islam Mamalik Mesir dan tentera Mongol.
Ketika empayar Mongol cuba menakluki dunia, semua tempat pemerintahan Islam telah berjaya dihancurkan dan yang tinggal hanya Mesir. Sultan Qutuz tak mahu menunggu gilirannya untuk mati dan telah mengumpulkan barisan tentera untuk berlawan dengan tentera Mongol yang tak pernah kalah.
Selepas pertempuran dahsyat selama tiga hari ini berlangsung di sebuah kawasan bernama Ain Jalut, kemenangan berpihak kepada tentera Islam dan secara tidak langsung turut menandakan kekalahan pertama pihak Mongol.
Hasil kemenangan ini telah berjaya memberi pukulan maut terhadap pasukan Mongol lantas sedikit sebanyak mengekang misi perluasan dan penawanan wilayah oleh tentera Mongol.
Semoga dengan perkongsian ini, dapat meningkatkan lagi pengetahuan kita terhadap agama Islam.
Sumber: Muftiwp, Muftiwp, Muslim Matters, Human Appeal
Baca: Jom Tengok Menu Wajib Ketika Ramadan Di 7 Negara Lain, Kita Pun Boleh Cuba!