Amaran: Artikel ini mengandungi spoilers untuk cerita American Nightmare di Netflix
Siri dokumentari terbaru daripada Netflix, American Nightmare telah mendapat tontonan yang tinggi di Netflix. Dokumentari yang mempunyai tiga episod ini merupakan arahan dari pengarah The Tinder Swindler iaitu Felicity Morris dan Bernadette Higgins.
American Nightmare menceritakan bagaimana kehidupan Denise Huskins dan Aaron Quinn telah menjadi huru hara selepas Denise diculik di rumah teman lelakinya pada ketika itu, Aaron di Vallejo, California pada awal pagi 23 Mac 2015.
Ia menunjukkan gabungan temubual, rakaman soal siasat dan rakaman audio menceritakan kisah penculikan yang melibatkan Denise Huskins dan Aaron Quinn yang menjadi contoh bagaimana sistem keadilan telah mengecewakan mangsa jenayah. Ini ceritanya…
Penculikan Denise Huskins
Dua episod pertama dokumentari ini telah menunjukkan Aaron dan Denise menceritakan pengalaman mereka pada malam penculikan berlaku dan apa yang berlaku beberapa hari selepas itu.
Kedua-dua mereka menceritakan perkara yang sama di mana dorang dibangunkan dengan cahaya yang terang dan suara seorang lelaki memberikan mereka arahan.
Pasangan ini telah diikat, ditutup mata dan diberikan bius sebelum Denise di bawa keluar dari rumah dan dimasukkan ke dalam bonet kereta. Manakala Aaron ditinggalkan di dalam rumah dan diminta untuk menunggu arahan seterusnya tentang wang tebusan.
Selain itu, Aaron turut diberikan amaran bahawa terdapat satu kamera yang merakam semua pergerakannya dan jika dia cuba menghubungi polis, penculik tersebut akan membunuh Denise.
Di dalam episod satu, Aaron dilihat telah menangis ketika menceritakan kisahnya ketika disoal siasat oleh polis di mana dia telah dianggap sebagai suspek kes penculikan ini. Di dalam rakaman soal siasat, dapat dilihat Aaron sedang bercakap dengan Detektif Vallejo Mathew Mustads yang menunjukkan detektif tersebut tidak mempercayai cerita lelaki ini dan mengatakan bahawa Aaron telah membunuh Denise kerana bergaduh dan membuang mayatnya.
18 jam selepas disoal siasat, abang Aaron, Ethan telah melantik seorang peguam, Dan Russo untuk dibebaskan dari tahanan dan mewakilinya.
Sepanjang Aaron ditahan, dia telah memberitahu pihak polis tentang apa yang akan berlaku di mana penculik tersebut akan menghubunginya melalui emel dan panggilan telefon untuk bercakap mengenai wang tebusan. Namun telefonnya telah dirampas dan diletakkan dalam airplane mode.
Episod satu kemudiannya berakhir dengan Denise dilihat sedang berjalan untuk masuk ke dalam rumah keluarganya di Huntington Beach iaitu 400 batu dari Vallejo, dua hari selepas dia dilaporkan diculik. Denise dilihat tidak mengalami apa-apa kecederaan.
Tiru cerita ‘Gone Girl’?
Di dalam dokumentari ini, Denise telah menceritakan bagaimana dia telah diculik dan ditempatkan di sebuah lokasi pedalaman oleh penculiknya. Sepanjang dia diculik, dia dikatakan telah diarahkan untuk memakai penutup mata sepanjang masa dan tak dapat melihat lelaki yang berinteraksi dengannya.
Lelaki tersebut telah bercakap dengannya dengan nada yang baik dan turut memberitahu bahawa dia merupakan bekas tentera dan sebahagian daripada kumpulan penjenayah dan mempunyai tiga lagi rakan lain. Dia juga turut memberitahu Denise bahawa tujuan asal mereka adalah untuk menculik bekas tunang Aaron, Andrea Roberts yang pernah tinggal di rumah Aaron sebelum ini dan hampir mirip dengan Denise.
Selama 48 jam dia diculik, Denise telah dirogol sebanyak dua kali oleh penculiknya itu sambil dia merakamkan perbuatan tersebut sebagai tebusan sekiranya Denise mahu memberitahu polis mengenai apa yang berlaku selepas dia dibebaskan.
Penculik ini kemudiannya telah mengatakan bahawa dia akan membebaskan Denise di rumah keluarganya kerana kawasan Vallejo dipenuhi dengan pihak polis dan wartawan.
Selepas Denise pulang ke rumah keluarganya, wanita ini telah membuat keputusan untuk menceritakan apa yang berlaku ke atasnya kepada pihak polis namun pada hari yang sama dia dibebaskan, Polis Vallejo telah mengumumkan bahawa Denise telah membuat dakwaan palsu tentang penculikan tersebut dan pasangan ini dikatakan tidak memberikan kerjasama yang baik.
Mr Quinn dan Ms Huskins telah merampas sumber berharga dari komuniti kita dan telah melarikan fokus polis kepada jenayah sebenar sambil menakutkan orang lain. Jadi dalam kes ini mereka yang perlu meminta maaf kepada komuniti.”
Disebabkan kenyataan pihak polis ini, pihak media telah mengaitkan kisah penculikan tersebut dengan filem Gone Girl yang baru dikeluarkan setahun sebelum ini di mana seorang wanita telah merancang kehilangannya sehingga menyebabkan kekecohan di kalangan pihak polis dan media.
Sementara itu, penculik sebenar Denise yang telah mengikuti perkembangan berita telah merasa bersalah dengan tuduhan yang dilemparkan ke atas wanita itu oleh pihak polis dan media.
Penculik ini mula menghantar beberapa kenyataan berbentuk emel ke San Francisco Chronicle mengatakan bahawa pasangan tersebut bercakap perkara yang benar. Di dalam emel tersebut, penculik ini turut memasukkan gambar-gambar bukti bahawa mereka telah menculik Denise.
Kami tak boleh melihat dua orang yang baik ini telah dilemparkan dengan tuduhan oleh pihak polis dan media bila dorang sepatutnya hanya menerima sokongan dan simpati.
Kami bertanggungjawab ke atas kesengsaraan mereka dan memberitahu perkara sebenar adalah perkara kecil yang kami boleh lakukan.”
Wartawan yang telah menerima emel dari penculik ini telah menghantar emel-emel tersebut kepada pihak polis Vallejo namun tak mendapat apa-apa respon.
Bagaimana kes ini diselesaikan?
Saya telah diculik dan dirogol tapi mereka (polis) masih tak percayakan saya. Saya tak tahu apa yang perlu berlaku pada saya atau mana-mana wanita untuk buatkan mereka percaya.” – Denise Huskins
Selepas berbulan-bulan menjadi mangsa pihak polis dan media yang menuduh mereka menipu dan telah memalsukan penculikan dan serangan seksual. Satu cubaan menculik yang berlaku di Dublin, California kira-kira 40 batu dari Vallejo telah menjadi penyelamat untuk Denise dan Aaron.
Insiden yang berlaku pada 5 Jun 2015 mempunyai jalan cerita yang sangat sama dengan apa yang berlaku pada Denise dan Aaron. Cuma kali ini, pasangan yang terlibat berjaya menggagalkan penculikan tersebut dan penculik itu turut terjatuhkan telefon bimbitnya semasa pergelutan berlaku.
Polis Dublin kemudiannya telah menjejak telefon tersebut dan dapat menghubungi seorang wanita yang memberitahu bahawa telefon tersebut milik anak lelakinya Matthew Muller yang merupakan bekas tentera. Selepas berjaya menjejaki kabin lelaki ini dan menahan Matthew, salah seorang pegawai Mistu Carausu, mula membuat siasatan yang lebih mendalam.
Selepas membuat beberapa cubaan untuk menghubungi pihak FBI di Vallejo, Mistu akhirnya berjaya menunjukkan kepada mereka bahawa Matthew merupakan penculik sebenar dan semua dakwaan Denise dan Aaron adalah benar.
Dorang panggil wanita ini penipu di dalam berita negara. Tapi saya hanya nak peluk dan beritahu dia bahawa saya ada (untuk selamatkannya). – Mitsu Carausu
Matthew Muller yang pernah melakukan beberapa pencerobohan dan gangguan yang sama sebelum ini telah didakwa di mahkamah persekutuan Sacramento atas tuduhan menculik untuk terbusan dan mengaku bersalah dan telah dijatuhkan hukuman penjara 40 tahun.
Dia kemudiannya telah didakwa di Solano County atas pertuduhan gangguan seksual ke atas Denise termasuk rompakan dan pecah rumah serta penculikan dan dihukum penjara 31 tahun.
Apa yang berlaku kepada Denise dan Aaron?
Pada Mac 2016, Denise dan Aaron telah memfailkan saman terhadap jabatan polis Vallejo di mana mereka menuduh pegawai polis tersebut telah memusnahkan reputasi mereka. Kes ini kemudian telah diselesaikan di luar mahkamah dengan bayaran sebanyak US$2.5 juta.
Denise dan Aaron kemudiannya telah berkahwin pada September 2018 dan dikurniakan dengan dua cahaya mata.
Enam tahun lalu, isteri saya Denise Huskins dan saya telah menjadi mangsa pihak polis selepas dia diculik dari rumah saya. Tanpa bukti, Detektif Mat Mustard dan lain-lain telah menuduh saya membunuh Denise dan menghiraukan perkara lain yang membolehkan mereka menyelamatkan Denise.
Apabila dia dibebaskan dalam keadaan selamat pula, kami dituduh menipu dan memalsukan penculikan dan serangan seksual.”
Adui kesiannya…