in

Kes Pembunuhan Canny Ong Jadi Punca ‘Parking Lot’ Khas Wanita Diwujudkan Di Malaysia

Collage 3

Kes penculikan, rogol dan pembunuhan Canny Ong yang berlaku pada tahun 2003 dahulu pernah mengejutkan negara. Malah, ia juga menjadi titik permulaan usaha pusat membeli belah di Lembah Klang untuk lebih mengutamakan keselamatan wanita.

Latar belakang Canny Ong

Canny Ong yang lahir pada 18 Julai 1974 merupakan anak kedua kepada pasangan Ong Bee Jeng dan Perly Visvanathan dari Ipoh, Perak.

Canny telah bekerja sebagai penganalisis teknologi maklumat di San Diego, California di Amerika Syarikat. Wanita ini juga turut menemui suaminya Brandon Ong di Los Angeles dan berkahwin pada tahun 2001.

Screenshot 2023 06 05 At 1.42.58 Pm

Pada awal tahun 2003, bapa Canny, Ong Bee Jeng telah disahkan mempunyai kanser dan pada 1 Jun 2003, Canny bersama suaminya telah pulang ke Malaysia untuk melawat bapanya yang sakit.

Namun begitu, keadaan bapanya mula beransur pulih jadi Canny membuat keputusan untuk pulang kembali ke Amerika Syarikat pada 14 Jun 2003.

Pembunuhan Canny Ong

Canny Ong

Pada 13 Jun 2003, sehari sebelum pesawat Canny dijadualkan untuk berlepas, wanita ini telah menghadiri jamuan makan malam bersama keluarga dan rakan karib di Restoran Monde yang terletak di Pusat Membeli-belah Bangsar.

Melihat keadaan ibunya yang penat selepas selesai makan, Canny telah menawarkan untuk menghantar ibunya ini pulang ke rumah. Canny telah pergi ke arah keretanya yang diparkir di kawasan letak kereta bawah tanah untuk mengambil tiket letak kereta sementara ibu dan kakaknya menunggu di mesin autopay. Ini kali terakhir ibu dan kakaknya melihat Canny dalam keadaan masih hidup.

Selepas 20 minit menunggu, ibu dan kakak Canny mula risau. Kakak Canny membuat dua panggilan telefon, satu tidak berjawab dan satu lagi masuk voicemail. Apabila mereka pergi menjenguk, mereka lihat tiada kelibat Canny mahu pun Proton Tiara berwarna Ungu milik kakaknya di tempat letak kereta

Selepas memujuk pengawal keselamatan untuk melihat rakaman CCTV, mereka nampak Canny telah diculik oleh seorang lelaki. Selepas sejam, laporan polis atas kehilangannya dibuat.

Yekfl1V

Kira-kira sejam selepas diculik, seorang anggota polis Lans Koperal S Ravichandran sempat menahan Proton Tiara di Kelana Jaya. Ketika melakukan pengecaman identiti, polis ini melihat Canny Ong seperti membuat isyarat tangan meminta tolong.

Curiga dengan apa yang dilihatnya, Ravichandran telah mengarahkan suspek untuk keluar daripada kenderaan. Namun, suspek telah memecut laju kereta tersebut tanpa mengambil semula kad pengenalan yang diberikan. Dua das tembakan turut dilepaskan ke arah kereta tersebut namun suspek berjaya bolos.

B9C7386Dcca9429C9A4B86253D8Dcad2

Seorang lagi saksi, Aminah Isahak turut sempat melihat Proton Tiara tersebut dengan Canny Ong masih hidup. Suspek telah meminta untuk meminjam jek bagi menukar tayar yang bocor ditembak polis. Apabila Aminah melihat ke arah dalam kereta, dia melihat Canny seolah-olah melambai tangan meminta tolong.

Aminah yang merasa ada sesuatu buruk sedang berlaku kemudiannya telah mencatit nombor plat kereta tersebut dan membuat laporan polis di Subang Jaya selepas suspek beredar dalam keadaan tergesa-gesa.

Kemudiannya, pada jam 1 ke 5 pagi, suspek yang kemudiannya dikenali sebagai Ahmad Najib Aris telah merogol Canny Ong di bawah jambatan yang sedang dalam binaan berdekatan Taman Datuk Harun. Selepas itu, Ahmad Najib telah menikam Canny Ong sebanyak dua kali sehingga wanita malang ini meninggal dunia.

Mayat Canny kemudiannya disumbat ke dalam lubang longkang sempit di tepi lebuh raya dan ditindih dengan dua tayar besar berisi simen. Najib kemudiannya muncul semula di lokasi kejadian sehari selepas itu dengan membawa dua botol petrol dan membakar mayat mangsa sehingga rentung.

Cannyong8

Tanpa disedari Najib, seorang pemandu van, Azizan Ismail telah menyaksikan dia di tapak binaan tersebut di dalam kereta bersama seorang wanita yang tidak berbaju baring di belakang kereta. Namun pada awalnya Azizan dan dua rakannya menyangka bahawa mereka merupakan pasangan kekasih.

Azizan juga sempat mencuri telefon bimbit milik Canny dari kereta tersebut dan menjualnya. Pada awalnya lelaki ini ditahan sebagai suspek namun dilepaskan selepas penangkapan ke atas Najib dibuat. Azizan kemudiannya menjadi satu daripada 69 saksi dalam kes pembunuhan ini.

Penemuan Mayat Canny Ong

Pada 17 Jun 2003, mayat Canny Ong telah ditemui oleh pengurus tapak binaan tersebut. Dia ditemui dengan baju di lehernya, tangan menekap ke dada dan kakinya terkeluar dari lubang. Polis kemudiannya membawa mayat tersebut untuk dibedah siasat dan keluarga Canny diminta hadir untuk membuat pengecaman. Pihak polis turut menemui Proton Tiara milik kakak mangsa.

27Nt07Ne 1595814812

Laporan bedah siasat mendedahkan bahawa Canny telah dicekik sebelum mayatnya dibakar. Kesan air mani juga turut ditemui. Pada 20 Jun 2003, Ahmad Najib telah ditahan sebagai suspek dan keputusan DNA menunjukkan air mani tersebut miliknya.

Najib turut membuat pengakuan yang dia telah membunuh Canny dan turut membawa polis ke beberapa tempat kejadian. Menurut Najib, dia telah pergi ke pusat membeli belah tersebut untuk mencari seorang wanita yang dia berdendam namun telah tersilap dan menculik Canny. Najib hanya sedar kesilapannya bila Ravichandran menyemak kad pengenalan mereka.

Ahmad Najib kemudiannya didakwa atas kesalahan merogol dan membunuh. Kes ini telah mendapat liputan media yang besar sehingga mengejutkan negara. Siasatan lanjut turut mendapati bahawa Najib turut terlibat dalam empat lagi kes rogol di tempat letak kenderaan sehingga pihak polis suspek lelaki ini merupakan perogol bersiri.

Bagaimanapun, Najib tak dapat didakwa atas jenayah-jenayah ini kerana mangsa-mangsa sebelum ini tak mahu orang tahu identiti mereka sebagai mangsa Najib sebelum ini.

Selepas menjalani perbicaraan selama 53 hari, Mahakamah Tinggi Shah Alam memutuskan bahawa Ahmad Najib bersalah atas tuduhan merogol dan membunuh Canny Ong. Dia telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati kerana membunuh dan 20 tahun penjara kerana merogol beserta 10 sebatan.

Ahmad Najib Aris

Selepas lebih 13 tahun pembunuhan Canny Ong berlaku, pada 23 September 2016, Najib yang sudah berusia 40 tahun telah digantung sampai mati di Penjara Kajang. Mayatnya dipulangkan ke keluarganya dan lelaki ini kemudiannya dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Kantan, Kajang.

Peguam Ahmad Najib telah memberitahu bahawa ketika dia menunggu hukuman gantung di penjara, lelaki ini merupakan seorang umat Islam yang baik. Malah pegawai penjara mengatakan Najib sering menjadi imam kepada banduan lain dan bercakap tentang agama. Peguam ini menambah yang Najib merupakan orang yang baik dibandingkan dengan orang-orang di luar.

Selain itu, selepas kes penculikan Canny Ong ini banyak pusat membeli belah di Lembah Klang mula memperkenalkan parkir khas wanita berdekatan pintu masuk bagi memastikan keselamatan mereka.

Kamera CCTV juga turut dipasang dan di sesetengah tempat, butang panik turut diletakkan bagi mengelakkan kejadian seperti ini berlaku lagi.

Sumber: NST, Harian Metro, Wikipedia

 

Baca: Peguam Jenayah Dedahkan Perkara Yang Perlu Dibuat Jika Anda Dirogol

Feature 4 11