Rakyat Malaysia digemparkan dengan berita penemuan mayat seorang bayi ditanam di bawah lantai simen di parkir sebuah rumah teres, Taman Sri Rokam, Ipoh.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata, mayat mangsa pada awalnya ditemukan seorang lelaki warga tempatan yang sedang membuat kerja baik pulih rumah berkenaan.
Katanya, pemeriksaan awal patologi mengesahkan mayat berusia tujuh bulan semasa dilahirkan dan berjantina perempuan.
Menurut pemilik, rumah tersebut disewa oleh seorang wanita warga Indonesia sejak tiga tahun lalu dengan kadar sewaan RM400 sebulan.
Artikel berkaitan: Mayat Wanita Disimen Dalam Bilik Air, KP Selangor Dedah Mungkin Telah Dibunuh Lebih Setahun
Artikel berkaitan: Universiti Di Indonesia Gempar Penemuan 5 Mayat Reput Di Kampus, Rupa-rupanya…
Bagaimanapun, wanita yang hamil ketika itu dikatakan melarikan diri dari rumah sewa itu sejak sebulan lalu.
Pemilik juga menyatakan pernah nampak wanita Indonesia itu hamil kerana dia akan mengutip sewa setiap bulan memandangkan penyewa membayar secara tunai.
Jiran kongsi tindakan pelik bekas penghuni
Sementara itu, jiran kediaman di situ mendakwa penyewa meninggalkan rumah berkenaan bersama pasangannya dan seorang kanak-kanak lelaki yang masih kecil dipercayai anak sulung mereka.
Katanya, pasangan itu bukan sahaja tidak ramah dengan jiran sekeliling, penyewa juga menampakkan reaksi janggal lebih-lebih lagi selepas dia dipercayai melahirkan anak kedua.
“Sebelum ini kami tidak pernah bersembang panjang sewaktu terserempak dengan wanita itu ke pasar. Lepas dia bersalin anak kedua, langsung kami sudah tidak bersembang malah apabila saya memandang mukanya, dia buat tak tahu saja.
“Saya lihat selepas bersalin pun dia macam biasa berjalan kaki ke pasar. Ada orang (jiran lain) yang beritahu saya dia sudah bersalin anak kedua, tapi saya hairan kerana tidak pernah pula lihat anak yang baru dilahirkannya itu.
“Dengan keadaan perut sudah tidak seperti orang mengandung selain tidak kedengaran juga suara tangisan bayi.
“Ada juga jiran lain bertanya lalu dia maklumkan bayi mereka sudah diberikan untuk dijaga seseorang di Johor Bahru,” katanya.
Pasangan itu diketahui meninggalkan rumah tersebut selepas pemilik menyedari mereka meninggalkan kunci di depan rumah.
Difahamkan, setakat ini tiada tangkapan dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu kerana menyembunyikan kelahiran.
Sumber: Harian Metro, Berita Harian