Seluruh rakyat Malaysia kini boleh menarik nafas lega dan bersyukur ke hadrat Ilahi kerana keputusan inkues kematian Adib akhirnya memihak kepada mangsa, lepas Allahyarham dilaporkan meninggal dunia akibat dipukul 2 hingga 3 individu yang tak dikenali.
Namun dalam pada itu, mahkamah koroner memberitahu bahawa kematian arwah juga disebabkan kegagalan pihak polis mengawal keadaan rusuhan tersebut, lapor Malaysiakini.
“Mereka hanya melihat perusuh-perusuh melakukan khianat pada bomba dan tak melakukan apa-apa”
Dapatan yang diperolehi Mahkamah Koroner juga agak mengejutkan. Dalam hal ini, PDRM dan FRU dipersalahkan kerana tidak melakukan apa-apa ketika pihak bomba diserang perusuh-perusuh.
“Saya juga membuat dapatan kematian arwah disebabkan kegagalan PDRM dan FRU kawal rusuhan.
“Keterangan jelas menunjukkan telah berlaku beberapa kebakaran sebelum arwah terlibat. Anggota bomba juga telah diancam perusuh yang tak mahu kebakaran dipadam.
“Ada polis berkawal dan api berjaya dipadam bomba.
“Adalah amat malang bila dua troop FRU dengan ratusan anggota dengan tujuh kenderaan pelbagai jenis, water cannon, gas tank dan sebagainya, tetapi hanya melihat perusuh-perusuh melakukan khianat pada bomba dan tak melakukan apa-apa.
“(Mereka) hanya siap siaga dengan senjata mereka, semata-mata kerana tak diberi arahan walaupun keadaan meruncing,” jelas mahkamah koroner.
“Cakap senang, tapi tak semudah begitu sebab itu kawasan ibadat” – Bekas KPN
Malah pada 26 November tahun lalu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Mohd Azis Jamman ada menafikan yang polis dikatakan lewat tiba di tempat kejadian.
Kata Azis, laporan pertama diterima polis pada jam 2.40 pagi dan polis hanya ambil masa 10 minit saja untuk tiba di tempat kejadian.
Manakala Ketua Polis Negara pada ketika itu, Mohd Fuzi Harun pula berkata tindakan polis dibuat berdasarkan SOP dan penilaian keadaan semasa.
“Cakap senang, (tapi) tak semudah begitu sebab itu kawasan ibadat. Kalau kita menyerang, nanti kita disalahkan.
“Kita beri bantuan pun disalahkan. (Dakwaan) Kita lewat sampai dan sebagainya, semua fakta itu tidak tepat. Padahal kita pun dapat maklumat daripada orang awam melalui panggilan telefon,” tegasnya.
Kita tunggu sajalah apa yang akan terjadi nanti. Buat masa ini, syukurlah kemenangan berpihak pada arwah.