Baru-baru ini, pelawak wanita dari Singapura, Jocelyn Chia ada membuat jenaka tentang nahas MH370 dalam satu persembahannya. Tindakannya itu ternyata telah mengguris hati seluruh rakyat Malaysia yang masih terluka dengan kisah hitam ini.
Terbaharu, keluarga mangsa tragedi MH370, Intan Maizura Othaman, 43, berkata dia dan anak-anaknya terkesan dengan jenaka keterlaluan yang dibuat oleh Jocelyn Chia.
Jelas Intan, ia adalah satu trauma buat setiap keluarga mangsa tragedi itu dan tidak sepatutnya dijadikan sebagai jenaka.
“Sudah sembilan tahun dan selamanya akan menjadi trauma bagi setiap keluarga MH370 termasuk anak-anak saya,” jelas Intan.
Dalam satu hantaran di Instagram, Isteri kepada pramugara iaitu Mohd. Hazrin Mohamed Hasnan itu berkongsikan sebuah video klip yang menunjukkan salah seorang anaknya menangis selepas menonton video pelawak terbabit.
Menurut Intan, dia tidak berniat untuk berkongsikan perkara itu secara terbuka, namun perbuatan Jocelyn itu telah mengguris hatinya serta membuat anak-anaknya sedih.
Dia berkata demikian untuk menjawab kenyataan warganet yang meminta supaya ahli keluarga mangsa MH370 untuk menerima kenyataan.
“Mungkin anda boleh berkongsi dengan kami apa itu jenaka sebenar. Untuk orang yang tidak tahu apa yang saya alami sebenarnya. Ini, klip untuk anda.
“Saya tidak nampak sebab mengapa saya perlu berkongsi dan saya tidak berminat untuk memperoleh apa-apa daripada kesengsaraan kami. Bagi saya, ini sepatutnya menjadi privasi dan harus dikendalikan secara peribadi.
“Bagaimanapun, isu-isu ini benar-benar membuatkan anak-anak saya sedih dan marah,” katanya.
Selain itu, dia turut meminta agar segala gurauan tentang MH370 dihentikan kerana ia boleh menyinggung perasaan ahli keluarga mangsa.
Kredit: Kosmo
BACA: “Tak kuat jangan dengar jenaka” – Pelawak AS Harap Jocelyn Chia Tak Minta Maaf Pada Rakyat M’sia