Untuk korang yang tak tahu, dua hari lepas genap 111 tahun kapal Titanic karam di Lautan Atlantik. Ia merupakan antara tragedi yang popular di dalam sejarah moden serta turut menjadi inspirasi kepada beberapa filem.
Kebanyakan yang korang tahu pasal tragedi ni mungkin dari filem Titanic popular dibintangi oleh Leonardo DiCaprio dan Kate Winslet, tapi dalam filem tu tak semuanya berdasarkan fakta yang betul.
Kapal Titanic yang dipromosikan sebagai kapal terbesar pada zaman tersebut serta tak akan karam ini telah tenggelam selepas kapal ini tergesel dengan aisberg gergasi. Jom ketahui fakta menarik tentang kapal ni yang mungkin korang tak tahu…
1. Orang mati atas Titanic sebelum kapal berlayar
Sepanjang pembinaan kapal ini selama 26 bulan, sebanyak 268 kemalangan teruk telah berlaku, 218 kemalangan kecil dan seramai lapan pekerja telah terbunuh.
Namun begitu, ia masih dikategorikan sebagai kematian terendah, ini kerana pada masa itu, dijangkakan satu kematian akan berlaku untuk setiap £100,000 yang dibelanjakan.
Kos untuk membina Titanic telah menelan belanja sebanyak £1.5 juta jadi sebanyak 15 kematian boleh berlaku ketika pembikinannya.
Kebanyakan dari lapan kematian ini adalah berpunca dari kecederaan yang dialami dari terjatuh dari kapal atau binaan di sekelilingnya.
2. Kehidupan atas Titanic
Kehidupan di atas kapal mewah ini adalah bergantung kepada duit yang seseorang itu ada. Untuk pengetahuan korang, terdapat tiga kelas berlainan di atas kapal dan perbezaannya adalah:
Kelas pertama: Orang yang paling kaya akan membayar tiket kelas pertama yang terletak di bahagian teratas. Mereka akan mempunyai suite peribadi yang besar dan hidangan makanan yang lazat dihidangkan di bilik makan. Mereka juga mempunyai akses kepada banyak kemudahan seperti kolam renang, gelanggang skuasy, kedai gunting rambut dan bilik membaca dan menulis.
Kelas kedua: Kelas kedua juga tak terlalu teruk, penumpang ini akan diberikan kabin dengan dua atau empat katil, sofa, tempat menyimpan barang, singki dan cermin. Mereka juga boleh bersiar-siar di luar, menggunakan bilik rehat, perpustakaan dan bilik makan.
Kelas ketiga: Tapi bagi penumpang kelas ketiga, mereka hanya disediakan dengan keperluan asas dan ditempatkan di bahagian bawah kapal. Setiap kabin tempat tidur mempunyai 10 katil dengan singki dan cermin sendiri serta 700 penumpang ini perlu berkongsi dua bathtub! Namun begitu, makanan untuk mereka ada disediakan di bilik makan sebanyak tiga kali sehari.
3. Anggaran kekayaan penumpang kelas pertama adalah sebanyak US$500 juta
US$87 juta dari kekayaan ini adalah milik John Jacob Astor IV. Dikatakan, dia bukan sahaja orang terkaya di dalam kapal tersebut malah salah seorang orang terkaya di dunia pada ketika itu.
Astor ketika itu dalam perjalanan pulang dari bulan madu bersama isteri barunya Madeline Force. Namun begitu, lelaki ini telah karam bersama kapal Titanic kerana mengikuti peraturan untuk menyelamatkan wanita dan kanak-kanak dahulu.
Mayat Astor adalah antara yang ditemui di Lautan Atlantik selepas kapal tersebut karam.
4. Surat khabar salah buat laporan
Ketika tragedi Titanic berlaku, beberapa surat khabar telah membuat laporan salah dengan mengatakan bahawa tiada kemalangan jiwa berlaku ekoran nak cepat sekaligus memberi harapan palsu kepada keluarga mangsa.
5. Lelaki pakai pakaian perempuan
Dikhabarkan, beberapa lelaki telah memakai pakaian wanita bagi mendapatkan tempat di dalam bot penyelamat. Malah, salah seorang pasangan dikatakan bercerai disebabkan perkara ini.
Dickinson dan Helen Bishop telah bercerai pada 1916, empat tahun selepas Titanic karam. Helen mendakwa suaminya seorang yang kejam dan kaki minum. Selain itu, khabar angin yang mengatakan Dickinson memakai pakaian perempuan untuk selamatkan diri dari Titanic juga turut membuatkan hubungan mereka renggang.
6. Hanya seorang wanita yang tenggelam tapi selamat
Rhoda Mary Abbot berada di atas dek kapal bersama dua anak lelakinya sehingga kapal ini karam. Ketiga-tiga dari mereka ini telah tenggelam dan dua anak lelaki Rhoda mati di bawa arus. Namun begitu, Rhoda sempat diselamatkan oleh bot penyelamat. Ini menjadikan dia satu-satunya penumpang yang terselamat selepas tenggelam bersama kapal.
7. Kapal Titanic terbelah dua
Sekurang-kurangnya 15 saksi direkodkan bersumpah bahawa dorang telah melihat kapal Titanic tersebut patah dua sebelum karam, namun tak dilayan. Malah pihak berkuasa US mengatakan bahawa kapal tersebut kekal dalam bentuk asalnya ketika tenggelam.
73 tahun kemudian, bangkai kapal ini telah ditemui di dalam laut sekaligus mengesahkan bahawa ia memang terbelah dua.
8. Lebih 1,500 penumpang mati, hanya 4 darinya wanita kelas pertama
Hanya empat wanita dari kelas pertama yang meninggal ketika tragedi ini berlaku. Ia angka yang sangat sedikit jika dibandingkan dengan seramai 89 wanita kelas ketiga telah meninggal dunia.
Salah seorang dari empat wanita ini adalah Ann Elizabeth Isham yang tenggelam kerana tak mahu meninggalkan anjingnya di dalam kapal.
Dikatakan, Ann telah melompat keluar dari bot penyelamat apabila dia sedar bahawa dia tak boleh bawa anjingnya bersama.
Di antara lebih 1,500 penumpang yang mati, hanya 300 mayat ditemui.
Sumber: History Hit, Insider, NatGeo