Berita kehilangan kapal selam Titan telah menjadi topik utama berita di seluruh dunia selepas CEO syarikat OceanGate yang membawa empat orang penumpang untuk lihat sendiri bangkai kapal Titanic di dasar laut terputus komunikasi 1 jam 45 minit selepas ekspedisi bermula.
Ekoran ini, beberapa pakar telah memberikan teori tentang nasib yang mungkin menimpa mereka seperti mungkin kumpulan ini berjaya timbul di permukaan dan menanti untuk diselamatkan di tengah lautan Atlantik atau terperangkap di dalam air kerana kerosakan pada kapal selam sehingga udara mereka habis.
Atau penumpang-penumpang ini telah ditimpa senario yang paling buruk iaitu berlakunya kebocoran atau keretakan pada badan kapal selam menyebabkan kapal selam tersebut tenggelam dengan pantas ke dalam tekanan air yang tinggi sekaligus menyebabkan letupan.
Malangnya, malam semalam Pengawal Pantai AS mengesahkan jangkaan terburuk ini telah berlaku selepas mereka menemui serpihan Titan di dasar laut sejauh 1600 kaki dari busur bangkai Titanic.
Namun apa sebenarnya yang berlaku sehingga menyebabkan Titan ini meletup? Walaupun siasatan masih dijalankan, ini adalah beberapa punca yang mungkin terjadi sehingga berlakunya tragedi malang yang menimpa lima penumpang Titan.
Reka bentuk yang luar biasa untuk persekitaran yang merbahaya
Kapal Polar Prince telah membawa kapal selam Titan ke tengah lautan sebelum dilepaskan untuk menyaksikan bangkai Titanic yang terletak sedalam 3,800m dari permukaan laut. Komunikasi mereka terputus kira-kira 1 jam 45 minit kemudian apabila kapal selam tersebut mungkin hampir ke dasar laut.
Kalau korang nak tahu, pada kedalaman tersebut, apa-apa objek termasuk badan manusia akan terdedah kepada tekanan yang mempunyai kekuatan sebanyak 300 kali lebih kuat dari tekanan atmosfera bumi ke atas kita setiap hari.
Titan telah direka untuk bertahan pada tekanan tinggi ini dengan dua kubah titanium yang kuat pada kedua-dua hujung badan kapal yang disambung oleh silinder gentian karbon setebal lima inci. Menurut laporan, pemeriksaan secara ketat dan teliti akan dijalankan kepada kapal selam setiap kali ia digunakan bagi memastikan tiada kerosakan ke atas badan kapal.
Tapi, gentian karbon merupakan bahan yang sangat luar biasa untuk digunakan bagi kapal selam yang mahu menyelam pada kedalaman seperti ini kerana ia lebih kurang bertahan jika dibandingkan dengan besi atau titanium yang selalu digunakan.
Namun begitu, pemilihan bahan ini telah diambil kira oleh CEO OceanGate, Stockton Rush selepas dia percaya bahawa bahan ini mampu untuk menahan tekanan dalam air dalam. Tak seperti besi, gentian karbon ini merupakan pelampung semulajadi yang menjadikan Titan jauh lebih ringan dan murah dari kapal selam sebelum ini.
Bagi mengimbangi kelemahan ini, kapal selam Titan telah dilengkapi dengan sistem pemantauan yang secara teorinya boleh mengesan apa-apa perubahan keretakan atau kerosakan secara pantas bagi membolehkan krew dalam kapal melakukan penimbulan kecemasan.
Pada kedalaman seperti ini, tak ada ruang untuk sekecil-kecil kesalahan berlaku. Malah jika berlakunya kebocoran atau keretakan pada badan kapal dan air boleh masuk, tekanan yang berlaku sangatlah dahsyat dan air akan masuk dengan laju sehinggakan kapal selam dan penumpangnya akan hancur dalam masa sangat-sangat singkat kurang sesaat walaupun kawalan sistem dibuat.
Sama macam laporan The Wall Street Journal yang mengatakan apa yang berlaku kepada Titan berlaku dengan sangat-sangat pantas.
This is what happened to the #titanicsubmarine as its imploded on decent. Death was instant.
They didn't even know it happened.
They didn't even reach the #Titanic.
May their souls rest in peace.
Pray for the families ?#submarinemissing #OceanGateSub #titanicsub pic.twitter.com/tTtroJvU9d— Khaleed (@afayeed254) June 22, 2023
Walaupun laporan sebelum ini mengatakan bahawa ada bunyi ketukan didengari setiap 30 minit menandakan mungkin penumpang-penumpang ini masih hidup dan sedang meminta pertolongan, orang dalam tentera memberitahu bahawa Sistem Tentera Laut AS yang digunakan untuk mengesan kapal selam musuh telah mendengar bunyi letupan tak lama selepas Titan terputus komunikasi.
Kebimbangan mengenai badan kapal Titan pernah diutarakan
Bekas Pengarah Operasi Marin OceanGate, David Lochridge sebelum ini pernah menulis bantahan ke atas saman yang difailkan ke atasnya oleh syarikat pelancongan bawah laut ini pada 18 Januari 2018 yang lalu. Katanya:
Sekarang adalah masanya untuk menangani betul-betul bahan-bahan yang mungkin boleh menimbulkan risiko keselamatan kepada kakitangan. Komunikasi secara lisan telah pun dibuat mengenai masalah ini namun diabaikan beberapa kali, jadi sekarang saya perlu membuat laporan ini supaya ada laporan rasmi mengenai perkara ini.”
David mula bekerja dengan OceanGate pada 2015 dan didakwa telah diberikan tugas untuk membuat semakan keselamatan akhir untuk Titan. Di dalam saman yang difailkan ini mendakwa bahawa dia telah dipecat dari syarikat tersebut selepas memberikan amaran beberapa kali mengenai reka bentuk kapal selam ini.
Dalam laporan tersebut juga turut mendakwa tiada kapal selam gentian karbon yang dapat menahan kedalaman sasarannya iaitu sedalam 4,000m. Bukan itu sahaja, badan kapal yang diperbuat dari gentian karbon ini juga terdedah pada kerosakan kecil yang boleh bertukar menjadi koyakan besar sekiranya berlaku perubahan pada tekanan.
Perkara ini juga turut diakui oleh Stockton sebelum ini dengan mengatakan selepas ujian menyelam dilakukan di Bahamas, Titan telah menunjukkan beberapa masalah apabila berlakunya perubahan tekanan, kerana ini, ekspedisi untuk melihat Titanic telah ditangguhkan bagi menyelesaikan isu tersebut.
Selain itu, David turut skeptikal dengan sistem pemantauan di dalam Titan di mana dia percaya yang sistem tersebut hanya akan menunjukkan kegagalan komponen berlaku kurang sesaat sebelum letupan berlaku.
Lebih teruk lagi, tuntutan mahkamah itu juga turut mendakwa bahawa lubang tingkap pada Titan itu juga hanya diluluskan untuk menahan tekanan pada kedalam 1,300m dan OceanGate enggan membayar lubang tingkap yang diluluskan untuk kedalaman 4,000m.
Penumpang yang dah bayar tak akan tahu atau diberitahu tentang perkara ini.”
Namun syarikat OceanGate kemudiannya menafikan perkara ini dan memberitahu bahawa David bukan seorang jurutera dan tak dibayar untuk memeriksa Titan. Selain itu, syarikat ini turut berkata yang Titan telah siap pada tahun 2020-21 jadi kapal selam yang disebut oleh David itu bukan kapal selam yang sama.
Hmm…
Sumber: IndependentUK
Baca: Kecoh! Kapal Selam Bawa Jutawan Tengok Kapal Titanic HILANG, Ini Apa Korang Perlu Tahu…