Enam individu didakwa di Mahkamah Majistret Tapah semalam atas pertuduhan mengedar dadah jenis Methamphetamine dua minggu lalu. Menurut Berita Harian, daripada enam tertuduh tersebut lima daripada mereka merupakan adik beradik. Mereka adalah:
- S Rathiswaran, 23 tahun
- S Suthentiran, 21 tahun
- S Suridharan, 20 tahun
- S Suthesan, 18 tahun
- Adik lelaki mereka (tidak didedahkan nama), 17 tahun
Seorang lagi tertuduh merupakan lelaki warga Myanmar berusia 23 tahun bernama Kyaw. Keenam-enam mereka didakwa mengedar dadah tersebut seberat 37.2 kilogram di Mukim Chenderiang, Tapah pada jam 9.15 pagi, 4 November lepas.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.
Kelima-lima mereka mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan serentak sementara tertuduh warga Myanmar itu tidak memahami pertuduhan terbabit kerana dibacakan dalam Bahasa Melayu.
Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan menetapkan 9 Disember untuk sebutan semula untuk mendapatkan khidmat jurubahasa buat Kyaw. Tarikh sebutan semula kes ditetapkan 18 Januari 2021 sementara menunggu laporan kimia.