Setelah hampir setahun hilang, polis akhirnya hari ini mengesahkan rangka yang dijumpai dalam tangki air di Felda Palong 12 pada Mac lepas sah milik Muhammad Aiman Hakim Mat Ani, 22.
Menurut Sinar Harian, pengesahan ini dilakukan berikutan ujian DNA yang dilakukan 3 bulan lepas terhadap pelajar tahun akhir Universiti Teknologi Mara (UITM) Raub, Pahang tersebut.

“Keluarga sudah lama reda, kami bersyukur semuanya sudah selesai”
Abang kepada mangsa, Muhamad Afiq Azim Mat Ani, 24, berkata, setelah hampir setahun semuanya berlaku, mereka sekeluarga kini sudah reda dengan pemergian anak ketiga daripada enam adik beradik tu.
“Keluarga sudah lama reda, kami bersyukur semuanya sudah selesai.
“Apa yang kami nantikan ialah keputusan DNA kerana urusan pengebumian jenazah terpaksa ditangguh sehinggalah semuanya terjawab.
“Sekarang keluarga boleh tuntut jenazah dan menyempurnakan seperti yang sepatutnya,” katanya.


Terpaksa tunggu lebih 3 bulan untuk kebumi mayat adik
Apa-apapun keluarga arwah Aiman berterima kasih kepada pihak polis dan semua yang terlibat dalam memudahkan proses melibatkan mangsa. Syukurlah kini mayat mangsa yang hilang semenjak Julai 2018 ini sudah boleh dikebumikan.
“Selama ini kami hanya menunggu kepastian dan sementara menunggu keputusan urusan lain tidak boleh dilaksanakan.
“Jenazah akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Felda Keratong, Rompin,” kata Muhamad Afiq Azim Mat Ani.

Takziah buat keluarga mangsa. Diharapkan mereka tabah dalam hadapi ujian berat ini. Al fatihah…