Inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir semalam mendapat perhatian setelah nama ‘Kak M’ antara yang paling banyak disebut pada hari kesembilan inkues berkenaan.
Ketua Warden asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Azhari Abd Sagap, menyambung memberi keterangannya dan menjawab beberapa soalan yang dikemukakan peguam mewakili ibu arwah selain peguam mewakili bapa arwah dan peguam mewakili tertuduh kanak-kanak.
“Saya yang memberitahu polis siapa ‘Kak M'” – Ketua Warden
Dalam prosiding berkenaan, Ketua Warden, Azhari Abd Sagap, 31, dilihat tidak dapat menahan sebak ketika memberi penjelasan tentang kecaman yang dilemparkan terhadapnya di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Beliau yang merupakan saksi kelapan memberitahu pihak sekolah sama sekali tidak pernah melindungi sesiapa, sebaliknya sentiasa memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dengan menyerahkan semua bukti dan keterangan berkenaan kes.
Kalau kami mahu melindungi pembuli atau pembunuh Zara Qairina, saya tidak akan ceritakan apa (insiden tuduhan curi) yang berlaku pada malam 15 Julai itu kepada pegawai polis. Saya maklumkan perkara itu sebelum ibu Zara Qairina membuat laporan polis kali kedua.
“Saya sendiri yang berurusan dengan polis. Apa-apa polis minta, siapa sahaja yang polis mahu bawa ke IPD Papar saya bawa, termasuklah audio ‘Kak M’. Saya juga yang memberitahu polis siapa ‘Kak M’,” katanya.

Artikel berkaitan: Saksi Dakwa Zara Qairina Dituduh Curi Duit Sebelum Kejadian
Artikel berkaitan: Saksi Dakwa Guru Jumpa 15 Helai Kertas Diari Di Rak Buku Dalam Kelas Zara Qairina
‘Kak M’ di media sosial bukanlah ‘Kak M’ yang sebenar?
Dalam keterangannya lagi, dia memberitahu bahawa remaja yang dikatakan sebagai ‘Kak M’ di media sosial bukanlah ‘Kak M’ yang sebenar.
Sebaliknya remaja yang dikaitkan itu merupakan seorang pelajar baik yang hampir setiap tahun menyertai pertandingan hafazan sekolah dan antara pelajar tiga terawal menamatkan Ujian Akhir Sesi Akademik pada tahun lepas, dakwanya.
“Saya tegaskan di sini Kak M itu bukan (nama pelajar), kenapa dia yang dikecam, diviral.
“(Dia) (nama pelajar) budak yang baik, hampir setiap tahun dia pelajar hafazan saya setiap tahun. Tahun lepas saya buat program Halaqah Huffaz bagi mengisi program selepas UASA (Ujian Akhir Sesi Akademik).
“Saya buat program Halaqah Huffaz dan dialah antara tiga pelajar terawal selesaikan hafazan dia dan saya (saksi menangis), bagi saya tuduhan terhadap dia kejam hanya kerana dia pertama jumpa Zara di sana, tapi ini yang dia dapat,” katanya.
Saksi juga sedih apabila menerima pelbagai kecaman kerana telah melakukan segala usaha bagi menyelamatkan Zara Qairina selain beri kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dengan menyerahkan segala bukti.
Adakah ini yang patut saya terima? Adakah ini patut sekolah terima? Tiada apa yang kami selindung. Kami sudah memberitau semua perkara. Semua itu tanggungjawab saya. Saya tidak mahu Zara Qairina teraniaya. Tapi, itulah sekarang ini, memang sekolah teraniaya termasuk saya sendiri.
“Saya ada… saya tunggu sampai Zara Qairina dicabut mesin. Saya tunggu Zara Qairina di mortuary (rumah mayat). Saya juga bertemu dan berbual dengan ibu Zara Qairina ketika berada di hospital hingga hari pengebumian remaja itu di Sipitang. Saya ada. Saya ikut solat sampai ke perkuburan. Inikah patut saya terima?” soal Azhari.
Kak M buat kenyataan ‘Kalau aku touch-touch kau ini, berdarah kau ni’ ketika tidak stabil
Selain itu, mahkamah juga diberitahu bahawa pelajar yang dikenali sebagai ‘Kak M’ ini telah mengeluarkan kata-kata berbaur ‘ugutan’ terhadap Zara Qairina ketika emosinya tidak stabil.
Menurut Azhari, pelajar berkenaan dikatakan melafazkan ayat berbunyi, “Kalau aku touch-touch kau ini, berdarah kau ni” selepas mengetahui adiknya diejek oleh Zara Qairina dan seorang rakan.
Seperti yang saya katakan, Kak M ketika itu dalam keadaan emosi tidak baik. Dia sendiri memberitahu kami ia berpunca daripada keadaan biliknya yang kotor dan bersepah.
“Kebetulan ketika itu dia melalui bilik adiknya dan ternampak adiknya berjumpa dengan Zara serta seorang lagi pelajar. Itu sebabnya dia mengeluarkan kenyataan tersebut, hanya itu,” katanya.

Dia yang menjawab soalan dari peguam yang mewakili salah seorang kanak-kanak terbabit dalam kes itu, Joan Goh, berkata, insiden ejekan terhadap adik Kak M berlaku secara bertulis yang berbunyi:
Dia seorang yang sok orku, sengaja takutkan Form 1 (Tingkatan Satu), padahal baru juga junior.”
Istilah ‘sok orku’ itu menurut Azhari merupakan gabungan daripada perkataan ‘sok sok’ iaitu berpura-pura, manakala ‘orku’ singkatan kepada perkataan ‘orang kuat’.
Tambahnya lagi, nama panggilan adik Kak M juga disebut dalam bukti yang diserahkan kepada pihak polis.
Artikel berkaitan: “Kak M cakap takkan maafkan saya” – Peguam Sahkan Rakaman Suara Zara Qairina Yang Tular Adalah Asli
Ketua Warden persoal tindakan ibu Zara Qairina
Dalam pada itu, Azhari Abd Sagap, 31 yang juga guru Bahasa Arab telah mempersoalkan tindakan ibu arwah, Noraidah Lamat yang didakwa berdiam diri walaupun anaknya dikatakan pernah mengadu masalah dihadapi pelajar itu di asrama.
Cerita mengenai ‘Kak M’ ini bermula sejak Mei lalu, mengikut hasil siasatan pihak sekolah… kenapa ibu Zara Qairina tidak membuat sebarang laporan kepada pihak sekolah? Itu yang menjadi persoalan saya.
“Saya berasa sangat terkesan dengan kehilangan pelajar itu… sebab itu saya ambil tahu semuanya. Kalau tiada aduan daripada Zara Qairina sendiri, sepatutnya ada aduan daripada ibunya tetapi langsung tidak ada,” katanya.
Menjawab soalan peguam Abdul Fikry Jaafar Abdullah yang mewakili empat tertuduh kanak-kanak dalam kes berkait Zara Qairina, Azhari juga berkata, ibu mangsa juga tidak pernah menceritakan sebarang insiden buli kepadanya ketika mereka bertemu di Unit Kecemasan hospital.
‘Tomboi’ tiada di negeri ketika insiden berlaku
Satu lagi nama yang disebut ketika inkues yang berlangsung semalam ialah seorang remaja yang dikenali sebagai ‘Tomboi’ yang mana dikatakan tidak ada di dalam negeri ketika insiden itu berlaku pada 16 Julai lepas.
Seorang guru pengiring, Cikgu Amit Hamid difahamkan telah membawa beberapa orang pelajar termasuk pelajar yang tular di media sosial iaitu ‘Tomboi’ untuk satu program sekolah di Perlis.
Pada masa kejadian, pelajar ini tiada pun di sekolah. Dia dibawa oleh seorang guru, Cikgu Amit Hamid ke Perlis untuk satu program,” katanya.
Prosiding inkues melibatkan Azhari dan saksi-saksi pelajar SMKA Tun Datu Mustapha bersambung hari ini.
Sumber: Sinar Harian, Malay Mail, Harian Metro