Kandungan gula dalam darah yang rendah dan berbahaya dapat menjejaskan kira-kira satu daripada sepuluh bayi yang lahir terlalu awal (pramatang) dan sekiranya ia tidak dirawat, ia boleh menyebabkan kemudaratan kekal.
Justeru, penyelidik daripada New Zealand telah mendapati bahawa dos gula yang diberikan sebagai gel (sugar gel), yang disapu ke bahagian dalam pipi bayi merupakan cara yang murah dan berkesan untuk melindungi bayi pramatang daripada cacat otak.
Para penyelidik itu dikatakan telah menguji terapi menggunakan sugar gel tersebut kepada 242 bayi di bawah jagaan mereka dan dikatakan ini merupakan kajian yang pertama dijalankan terhadap bayi. Kajian mereka ini juga telah diterbitkan dalam The Lancet.
Prof Jane Harding dan para penyelidik lain yang bersamanya di Unversiti Auckland menjelaskan bahawa kos rawatan gel Dextrose (pengganti gula) hanyalah lebih £1 (RM5.60) sahaja bagi setiap bayi dan ia lebih mudah untuk diberikan berbanding titisan glukosa.
Namun, dikatakan ramai bayi yang diberikan glukosa intravena (intravenous glucose) kerana kandungan gula dalam darah mereka kekal rendah yang dikenali sebagai hipoglisemia (hypoglycaemia).
Oleh hal yang demikian, kajian yang dijalankan telah menilai sama ada rawatan dengan gel dextrose (sugar gel) tersebut lebih berkesan daripada memberi makanan sahaja untuk merawat hipoglisemia itu.
Neil Marlow, dari Institut Kesihatan Wanita di University College London, berkata walaupun gel dextrose (sugar gel) tidak lagi digunakan, namun penemuan ini telah membuatkan ia dicadangkan untuk digunakan kembali sebagai rawatan.
“Kami kini mempunyai bukti berkualiti tinggi bahawa ia bernilai”, kata Neil.
Manakala, Andy Cole, ketua eksekutif badan amal bayi pramatang Bliss, berkata: “Ini adalah penyelidikan baharu yang sangat menarik dan kami sentiasa mengalu-alukan apa sahaja yang berpotensi untuk meningkatkan hasil untuk bayi yang dilahirkan pramatang atau sakit.”
Rawatan ini juga dikatakan sangat membantu dari segi kos yang efektif serta boleh mengurangkan kemasukan bayi ke unit rawatan rapi yang kini sudah pun berada di tahap kapasiti tinggi.
Beliau berkata lagi, lebih banyak kajian yang perlu dilakukan untuk membuktikan lagi rawatan menggunakan sugar gel ini kerana buat masa kini, ia hanya menunjukkan manfaat kepada bayi yang dilahirkan dengan kadar gula dalam darah yang rendah sahaja.
Jika dilihat di laman sosial pula, ramai yang menyamakan kajian sugar gel ini dengan amalan sunnah bertahnik kepada bayi yang baru lahir. Hal ini kerana hanya medium manisan yang digunakan sahaja berbeza di mana umat Islam menggunakan kurma manakala kajian ini menggunakan sugar gel.
Keluar kat berita BBC, manisan yang dicalit dalam bentuk gel ke pipi bayi boleh bantu against brain damage. Well, in Islam we call it tahnik. pic.twitter.com/65sstQo8Os
— Azlan Andi (@Potrey) December 14, 2021
Jadi, sekarang kita dah tahu kebaikan amalan bertahnik tu selain daripada sunnah Nabi ia dah dibuktikan secara saintifik lagi!
Sumber: BBC