Ayam bersaiz ‘mini’ yang merupakan hasil kacukan burung puyuh dan burung siung menjadi fenomena di China sekarang yang mana mereka membela haiwan berkenaan dalam rumah yang dikhaskan untuk anak patung.
Dikatakan sebagai “ayam terkecil di dunia”, ayam yang digelarkan Rutin berkenaan menjadi kegilaan ramai dalam kalangan pencinta haiwan di China dan ianya merupakan haiwan yang ‘wajib ada’ di sana.
Apa yang membuatkan ayam Rutin ini digilai adalah saiznya yang kecil dan comel serta kelebihannya untuk menghasilkan telur yang boleh dijadikan makanan.
Kerana saiznya yang kecil (sebesar tapak tangan), ramai peminat haiwan menjadikannya haiwan kesayangan untuk disimpan di dalam rumah, selain ramai pemilik mula menghias reban yang asalnya ‘rumah’ untuk anak patung.
Nama Rutin diambil sempena dengan bahan yang ditemukan dalam beberapa jenis buah dan sayur, namun ianya juga dikatakan wujud dalam telur ayam berkenaan.
Ayam Rutin ini dihasilkan dengan teknik kacukan dua jenis haiwan iaitu burung puyuh (Blue-breasted quail) dan juga burung siung (Asian grey patridge). Namun, menurut penjual, identiti ‘rasmi’ ayam berkenaan belum dikenalpasti oleh pihak berkuasa pertanian di sana.
Bersaiz sebesar tapak tangan orang dewasa, berat ayam Rutin ini hanyalah sekitar 50gram dan disebabkan fizikalnya yang kecil dan comel ini, orang ramai merasakan ianya sesuai dijadikan haiwan kesayangan disamping kemampuannya untuk menghasilkan telur.
Hasil carian mengenai ayam berkenaan di laman sosial Douyin (TikTok China), ada banyak video perkongsian pemilik ayam berkenaan dengan video paling popular mendapat tanda suka sebanyak 1.6 juta.
Difahamkan, ayam ini juga mudah dibeli dan ada dijual dalam talian menerusi Taobao dan akan dibela dalam ‘reban’ kayu, disertakan lampu, tangga dan tumbuh-tumbuhan.
Pelik-pelik je diorang ni, tapi macam comel la pulak…