Hari ini, kita dikejutkan dengan berita penemuan mayat kanak-kanak berusia enam tahun yang dilaporkan hilang di kawasan Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri, 24 Julai lalu, ditemukan ditanam di Rompin, Jempol, Negeri Sembilan.
Difahamkan, penemuan mayat itu susulan penahanan seorang lelaki yang juga bapa kepada mangsa.
Jiran kepada keluarga itu mendedahkan dia sering terdengar tangisan kanak-kanak itu selain ibu bapanya bertengkar.
Artikel berkaitan: Seorang Guru Wanita Ditahan Polis, Disyaki Terlibat Kes Dera Budak 6 Tahun Di Sebuah Tadika Swasta
Artikel berkaitan: “Suami saya culik dan sembunyikan, sekarang dia dakwa anak hilang” – Ibu Budak Ditemui M*ut Di Rompin
“Saya berjiran dengan tiga beranak berkenaan sejak setahun lalu dan pernah mendengar tangisan mangsa selain bunyi bising ibu bapanya akibat bertengkar mulut,” katanya.
Jirannya yang dikenali sebagai Kamarudin itu berkata, dia terkilan dengan nasib malang yang menimpa anak jirannya yang berusia enam tahun.
Menurutnya, beberapa hari lalu, dia difahamkan, kanak-kanak itu hilang dan sedang dikesan pihak berkuasa serta keluarga.
Katanya, dia tidak menyangka kanak-kanak lelaki yang dipercayai anak tunggal kepada pasangan berusia 30-an itu kini ‘pergi’ selamanya.
“Mangsa kelihatan normal dan sebelum ini, saya pernah berbual dengan pasangan itu namun mereka kurang bercampur dengan jiran.
Rumah ini dipercayai milik keluarga wanita itu dan sebelum ini dihuni adik-beradik wanita berkenaan,” katanya.
Kamarudin berkata, sejak sebulan lalu, pasangan itu tidak tinggal di kediaman berkenaan namun mereka hanya mengunjungi rumah itu sesekali secara berasingan. Namun katanya, sudah hampir sebulan dia tidak melihat anak pasangan itu di kediaman berkenaan.
Sebelum ini, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol menerima maklumat penemuan mayat di Rompin kira-kira jam 4.30 petang semalam.
Mayat dibawa ke Hospital Rembau untuk prosedur bedah siasat dan hasil siasatan awal mendapati, kejadian awal berlaku di Johor Bahru yang mana seorang kanak-kanak lelaki berumur enam tahun dilaporkan hilang.
Difahamkan, polis menahan suspek yang juga bapa mangsa. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sumber: Harian Metro