Baru-baru ini, agak kecoh apabila dua individu yang merupakan remaja lelaki berusia 17 tahun dan seorang bayi perempuan berusia 19 bulan telah meninggal dunia dipercayai keracunan selepas makan bihun goreng dan telur mata yang disediakan oleh pengendali luar di sebuah sekolah di Taman Chinchin, Gombak,
Tak cukup dengan itu, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) melaporkan seramai 82 daripada 247 orang yang terdiri dari urus setia, guru, pekerja sekolah dan ahli keluarga telah mengalami gejala keracunan makanan dari sarapan pagi yang disediakan untuk Program Kemahiran Amal Islami itu.
Ekoran dari ini, sampel makanan telah pun diambil semasa hari kejadian dan dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan bagi mengenalpasti punca sebenar berlakunya kejadian keracunan makanan.
Untuk pengetahuan korang, kes kematian akibat keracunan makanan ini bukanlah kes pertama yang pernah berlaku di negara ini. Malah ia telah berlaku sebanyak beberapa kali sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini.
Jadi, kalau korang nak tahu kes kematian akibat keracunan makanan yang pernah berlaku di Malaysia, korang boleh baca dekat bawah ni.
Artikel berkaitan: Akibat Makan ‘Leftover Food’, Pelajar Kena Keracunan Makanan Sampai Terpaksa Potong Kaki
Artikel berkaitan: Teguk 1.8 Liter Air Dalam Masa 20 Minit, Wanita Maut Akibat Keracunan Air
1. Suami, isteri warga emas meninggal dunia keracunan makanan ikan buntal
Pada 25 Mac 2023, seorang warga emas wanita telah mengalami kegagalan pernafasan dan degupan jantung tidak teratur akibat keracunan makanan dengan komplikasi saraf selepas termakan toksin yang ada pada ikan buntal.
Sementara itu, suaminya yang koma selepas makan ikan butal yang sama turut meninggal dunia selepas hampir seminggu dimasukkan ke dalam hospital.
Pasangan suami isteri ini dikatakan telah membeli ikan buntal tersebut secara senyap-senyap dari penjual ikan pada 25 Mac sebelum menyediakan ikan tersebut sebagai hidangan tengah hari mereka.
Untuk pengetahuan korang, seekor ikan buntal mempunyai toksin yang boleh membunuh sehingga 30 orang dewasa. Dikatakan, racun yang dikenali sebagai Tetrodoxin (TTX) ini adalah 1,200 lebih kuat daripada racun sianida.
2. Wanita meninggal dunia makan roti basi di R&R Perasing
Disember tahun lalu, seorang wanita disahkan meninggal dunia akibat keracunan makanan selepas disyaki menikmati makanan basi di medan selera kawasan Rehad dan Rawat (R&R) Perasing, Kemaman baru-baru ini.
Menurut Pengarah Kesihatan Terengganu, Datuk Dr. Kasemani Embong mengatakan siasatan awal mendapati wanita berusia 54 tahun itu telah mengalami gejala keracunan makanan selepas makan makanan yang dibeli di R&R Perasing.
Mangsa telah mengalami sakit perut, cirit-birit dan muntah selepas memakan makanan yang dipercayai telah basi.”
Kes ini telah mendapat perhatian selepas seorang netizen mendakwa ibu saudaranya telah meninggal dunia kerana keracunan makanan selepas makan sandwich yang dibeli di R&R Perasing.
Wanita ini meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu,
3. Meninggal dunia kerana kegagalan organ lepas makan puding buih ‘online’
Pada tahun 2020, tular makanan yang dipanggil puding buih yang mendapat populariti di Terengganu. Namun begitu, seorang wanita berusia 25 tahun telah meninggal dunia selepas 10 hari bertarung di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
Dipercayai, wanita ini telah meninggal dunia selepas mengalami keracunan akibat makan puding buih yang dibeli secara atas talian pada 22 Mei 2022.
Selain itu, seramai 99 mangsa dari Kuala Terengganu dan Marang turut dikejarkan ke HSNZ selepas mengalami muntah dan cirit birit selepas makan puding buih yang dibeli melalui dalam talian.
Kejadian ini membabitkan 20 keluarga iaitu 77 pesakit dari Kuala Terengganu dan 22 pesakit dari Marang.
Dipercayai, peniaga telah menggunakan telur tamat tempoh ketika membuat puding buih tersebut.
4. Meninggal dunia lepas makan laksa di Alor Setar
Pada Oktober 2018, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengesahkan terdapat 19 kes keracunan makanan dengan dua mangsa meninggal dunia selepas makan laksa yang dibeli di sebuah gerai di Kupang Baling.
Menurut Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail, daripada jumlah tersebut, sembilan kes dengan dua kematian dilaporkan di Perak manakala 10 lagi di Kedah.
Siasatan lanjut mendapati tujuh kes lagi dari satu keluarga yang tinggal di rumah yang sama terbabit, dengan gejala demam, cirit birit, dan muntah di mana dilaporkan memakan laksa jam 9.30 malam pada 4 Oktober lalu yang dibeli oleh bapa si mati di sebuah gerai di Kupang, Baling pada jam 5.30 petang.
“Kemudian pada 7 Oktober dua lagi kes dimasukkan ke Hospital Gerik kerana gejala keracunan makanan setelah memakan laksa yang dibeli pada 4 Oktober di gerai sama di mana salah seorang mangsa dirujuk ke Hospital Raja Pemaisuri Bainun, Ipoh untuk rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia pada jam 2.31 petang hari sama.”
Ekoran kejadian ini, premis menjual laksa tersebut telah diarahkan untuk ditutup sementara bagi membantu siasatan untuk mengenalpasti punca keracunan makanan yang berlaku.
5. Tiga orang meninggal dunia lepas makan di kenduri kahwin
Pada tahun 2013, seramai lebih 170 orang telah mengalami keracunan makanan selepas menghadiri kenduri kahwin di sebuah rumah di Tanjung Dawai. Akibat dari ini, tiga kematian telah dilaporkan.
Menurut anggota Parlimen Merbok Prof Dr Ismail Daut pada ketika itu, kebanyakan mangsa keracunan makanan ini terdiri daripada warga emas dan kanak-kanak. Mereka dikatakan telah mengalami cirit birit dan kekuarangan air dalam badan sejak makan makanan di kenduri kahwin tersebut.
Mangsa yang meninggal dunia, Nurshazana Mohd Rashid telah meninggal di rumahnya di Kampung Tempoyak Bedung, Mohd Nor Rahmat Yusof yang berusia 11 tahun dari Kampung Singkir Laut, Yan telah meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Yan.
Manakala mangsa ketiga, Ibrahim Mohammad yang berusia 62 tahun telah meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.
Sumber: Harian Metro, mStar, Kosmo, Berita Harian, Berita Harian, mStar