Pemakaian pelitup muka hari ini merupakan salah satu perkara yang diwajibkan dalam menempuhi kehidupan seharian dalam norma baharu kehidupan semasa pandemik.
Tidak dinafikan, memang terdapat banyak jenis pelitup muka yang terdapat di pasaran baik secara fizikal mahupun dijual atas talian untuk dibeli oleh pengguna.
Menurut perkongsian oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, difahamkan sebuah Kajian oleh CDC (Centers for Disease Control) Amerika Syarikat menunjukkan pemakaian pelitup muka berganda (pelitup muka kain di atas pelitup muka perubatan) dapat mengurangkan risiko pemakai kepada pendedahan virus COVID-19.
Menerusi perkongsian sama, ada disebutkan bahawa secara umumnya penggunaan pelitup muka perubatan (3-ply surgical mask) dengan pelitup muka kain dapat digunakan dengan baik oleh kebanyakan pengguna kerana ianya tidak mengurangkan pembekalan oksigen kepada pemakai.
Selain pelitup muka perubatan, difahamkan juga pelitup muka jenis N95 juga boleh digunakan. Difahamkan, N95 adalah piawaian tertinggi bagi jenis pelitup muka. Ini kerana ia boleh melitup permukaan muka serta menapis sehingga 95% partikel (sekiranya dikenakan dengan betul). Oleh itu, tiada keperluan untuk mengenakan pelitup muka berganda.
Jadi, tidak hairanlah kenapa permintaan terhadap pelitup muka jenis berkenaan amat tinggi. Selain N95, ada juga sejenis lagi yang sering dicari pengguna Malaysia iaitu pelitup muka jenis KF94 yang turut mempuinyai kesan yang sama.
Namun begitu, masih terdapat sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab menjual pelitup muka yang tidak menepati piawaian selain tidak berkesan untuk menapis partikel yang berbahaya. Lebih membimbangkan, ianya dijual hanya sebagai ‘fesyen’ tetapi tidak langsung berkesan.
Perkara ini telah dibangkitkan oleh seorang pengguna Twitter @paultantk dengan mengatakan bahawa pelitup muka KF94 berfesyen ini sebenarnya tidak sama sekali sama dengan KF94 ‘original’.
please remember this – kf94-style mask is not the same as kf94 mask. don’t fall into the fashion trap. get real kf94/kn95/n95 for real protection against delta variant.
— Paul Tan (@paultantk) September 13, 2021
Dalam bebenang yang sama, pengguna twitter lain turut kongsikan cara untuk mengenalpasti pelitup muka yang tulen selain ianya diiktiraf oleh KKM melalui Pihak Berkuasa Alat Perubatan (MDA).
Difahamkan, sebenarnya pelitup muka yang dijual di pasaran ini boleh disemak status pengiktirafannya melalui laman web MDA. Sebagai contoh, berikut adalah senarai pelitup muka KN95 yang berdaftar dan diiktiraf KKM.
Rupanya, bukan semua pelitup muka yang dijual di pasaran hari ini mendapat kelulusan atau didaftarkan di KKM. Jadi, pengguna diluar sana, diingatkan supaya tidak tertipu dengan lambakan pelitup muka atas talian mahupun yang dijual di pasaran.
Jaga-jaga, jangan sebab nak ikut trend, tak pasal-pasal membahayakan diri
Baca : Ahli Keluarga Atau Housemate Positif Covid-19? Doktor Ajar 5 Cara Hantar Mereka Sendiri Ke Hospital