Sebuah tragedi memilukan kita semua apabila berlaku nahas dua buah helikopter Tentera Laut Diraja (TLDM) yang bertembung dan terhempas di pangkalan TLDM Lumut, Perak pada pagi tadi.
Kejadian nahas itu telah mengorbankan 10 pegawai yang mana tiga daripadanya terdiri daripada anggota wanita.
Artikel berkaitan: [TERKINI] Nahas 2 Helikopter Bertembung Di Lumut, 10 Mangsa Dilaporkan Terkorban
Artikel berkaitan: Gambar 4 Hari Lepas Undang Rasa Hiba, Lambaian Buat Pesawat HOM-AW139 Sebelum Berlepas
Tular sekeping foto 3 tentera wanita
Susulan insiden itu, telah tular sekeping foto memaparkan tiga anggota tentera wanita yang sedang berada di dalam sebuah helikopter.
Menurut laporan, ketiga-tiga anggota wanita tersebut terlibat dalam raptai Hari Terbuka Armada TLDM membabitkan pesawat HOM (M503-3) dan pesawat Fennec.
Salah seorang mangsa kejadian nahas tersebut merupakan ibu saudara seorang pemuda yang terkejut selepas mengetahui tentang tragedi terbabit.
“Maksu (mangsa) merupakan ibu saudara belah emak saya. Saya memang terkejut lepas dapat tahu tentang hal ini. Memang tak percaya sebab ia berlaku tiba-tiba.
“Kali terakhir jumpa sebelum puasa. Keluarga maksu duduk di Yan, Kedah. Keluarga dah pergi ke Lumut selepas tahu berita itu. Mak ayah saya pun pergi juga,” ujar pemuda yang mahu dikenali sebagai Along.
Menurut pemuda itu, foto tiga anggota wanita bergambar bersama dalam sebuah helikopter itu merupakan gambar baharu.
“Itu gambar baru, hari ini,” jawabnya ringkas.
Katanya lagi, wanita yang berada di tengah-tengah dalam foto berkenaan merupakan ibu saudaranya yang sudah berumah tangga dan memiliki cahaya mata.
Ketiga-tiga anggota wanita yang terkorban ialah Pegawai Waran II TNL, Noorfarahimi Mohd Saedy; Bintara Muda TNL, Noor Rahiza Anuar; Laskar Kelas I JJM, Joanna Felicia anak Rohna.
Kejadian ini meninggalkan kesan mendalam kepada seluruh warga tentera selain menggemparkan rakyat Malaysia. Dilaporkan, TLDM akan menubuhkan Lembaga Siasatan segera bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian memilukan ini.
Sumber: mStar