Kes buli jalan raya adalah kes yang tidak asing lagi di Malaysia. Baru-baru ini berlakunya satu lagi kes yang sama membabitkan sekumpulan wanita yang mendakwa diri mereka dikepung oleh pembuli jalanan ketika memandu di Lebuhraya PLUS, Sabtu lalu.
Menurut perkongsian Aniss Hamid di Facebook, dia bersama tiga rakannya yang lain ketika itu sedang memandu di lorong kanan lebuhraya berkenaan sebelum mereka dapati sedang dihimpit dan dikepung empat kenderaan.
Menurut Aniss, kereta jenis Honda City, Toyota Preve, Perodua Gen2 dan Proton Persona telah melakukan aksi bahaya dengan mencuba untuk melanggar kenderaan yang dipandunya.
Aniss kemudian bertindak memberhentikan kenderaan di lorong kiri jalan sambil merakam aksi lelaki berbangsa Cina yang mengepung dan mengetuk cermin kereta mereka.
Takut akan tindakan yang dilakukan sekumpulan samseng jalanan itu, mereka bertindak menghubungi unit peronda Lebuhraya PLUS dan keempat-empat kenderaan yang mengepung mereka kemudiannya beredar dari tempat kejadian selepas melihat diri mereka dirakam.
Dua video yang dimuat naik oleh Aniss telah mendapat perhatian netizen dan rata-rata yang menonton sebaliknya mengecam tindakan wanita berkenaan dan menunding jari kepada mereka.
Menurut mereka, wanita itu mahu mencari publisiti murahan dengan sengaja merakamkan kejadian tersebut. Malah, dialah yang dikatakan bersalah di dalam kejadian itu.
“Malas la layan perempuan ni. Dah la bawa perlahan kat lorong kanan. Orang nak potong tak bagi pula. Mereka rileks je tak ada pun macam nak hempuk kau. Kau je gelabah tak tentu hala.”
“Pentingkan diri sendiri. Kalau dah ada dilorong kanan, lajulah. Kalau ada kereta cucuk belakang rapat maknanya dia nak laju. Kalau hon kau marah, bagi lampu pun marah. Jadi orang dah rapat pergilah ke tepi. Jangan pentingkan diri sendiri atau korang pula nak kuat kuasakan undang-undang supaya ikut had laju.”
“Perempuan yang buat video ni nak cari publisiti murahan agaknya. Kereta honda tu rileks je. Dia yang lebih mengalahkan pembuli jalanan.”
“Dalam video tu kak, kau yang beria telefon polis kata empat biji kereta kepung kereta kau selepas cuba langgar kau. Masalah sekarang kami nampak, kau sendiri yang kepung kereta-kereta tu. Apa masalah kau sebenarnya? Kau nak tunjuk samseng pada mereka ke? Dah mereka berhenti tepi jalan tu kau jalan lah. Lain lah kalau diorang kejar kau tiba-tiba baru lah orang percaya kau kena buli dengan samseng jalan.”
Itulah, zaman sekarang ni semua benda nak viralkan. Kalau silap langkah, memang dikecam lah jawabnya.
Baca: Pemandu Perodua Bezza Biadap, Halang Laluan dan Tunjuk Isyarat Lucah Kepada Pengguna Jalan Raya