Seorang ahli perniagaan Thailand telah ditemui mati di Thailand pada hari Isnin lalu (10 Julai) selepas isterinya melaporkan bahawa suaminya ini tidak pulang ke rumah pada 5 Julai lalu.
Mayat Hans Peter Walter Mack yang berusia 62 tahun ini telah ditemui di dalam sebuah peti sejuk beku dipercayai telah dikerat dengan menggunakan gergaji rantai.
Kehilangan Hans Peter Walter Mack
Pada 5 Julai lalu, Piraya Boonmark telah membuat laporan tentang kehilangan suaminya, Hans Peter Walter Mark selepas lelaki ini tidak muncul untuk makan tengah hari bersama.
Sebelum itu, Hans Peter dilaporkan telah keluar menaiki kereta Mercedes Benz untuk bertemu dengan seorang broker asing di Pattaya untuk berbincang mengenai jualan tanah di Pulau Samui.
Menurut Piraya, dia telah cuba untuk menghubungi suaminya namun tidak dijawab sebelum suaminya itu menghantar mesej mengatakan yang dia akan menghubunginya semula.
Piraya telah mencuba untuk menghubungi suaminya beberapa kali lagi sebelum mendapat satu lagi mesej mengatakan bahawa suaminya itu sedang bermesyuarat dengan pelanggannya pada jam 10 malam.
Perkara ini telah membuatkan Piraya berasa curiga kerana menurut wanita ini, suaminya tak pernah menghantar mesej kepadanya selama lima tahun mereka bersama.
Kemudian, pada 9 Julai, kereta Hans Peter telah ditemui terbiar di sebuah lot parkir sementara di kondominium di Nong Prue. Pemeriksaan forensik mendapati bahawa terdapat bukti kereta ini telah pun dibersihkan di bahagian kerusi hadapan, kerusi belakang, di stereng dan di gear menggunakan bahan peluntur.
Ekoran ini, pada Isnin lalu, keluarga ahli perniagaan ini yang tinggal di wilayah Chon Buri, Thailand ini telah membuat sidang media meminta pertolongan pihak polis untuk menjejak Hans Peter selepas seminggu tak pulang ke rumah.
Bukan itu sahaja, keluarga ini juga turut menawarkan bayaran sebanyak 3 juta baht kepada sesiapa yang boleh memberikan maklumat mengenai keberadaan ahli perniagaan tersebut.
Saya masih ada harapan yang dia masih hidup dan akan pulang ke rumah dengan selamat.” – Piraya
Dua anak lelaki Hans Peter dengan isteri pertamanya juga turut memberitahu wartawan yang mereka berharap bapanya ini dapat pulang dengan segera.
Mayat ditemui
Malangnya, selepas pencarian besar-besaran dibuat pihak polis telah menemui mayat Hans Peter yang telah pun dikerat menggunakan gergaji rantai dan disumbat ke dalam peti sejuk beku di sebuah rumah.
Menurut pihak berkuasa, kepala, badan dan bahagian badan lain broker hartanah ini telah dikerat dan diletakkan di dalam plastik. Gergaji rantai, tali, pengedap vakum, air dan botol turut ditemui bersama mayat tersebut.
Mayat Hans Peter ini telah pun dibawa ke Institut Perubatan Forensik di Hospital Besar Polis Thailand untuk dibedah siasat manakala peti sejuk beku disimpan di Balai Polis Nong Prue.
Penemuan ini dapat dibuat selepas pihak polis mendapat tip dari pasangan tempatan yang mendakwa mereka telah diupah untuk membawa peti sejuk beku ke sebuah rumah.
Menerusi rakaman CCTV, pihak polis telah mengenalpasti sebuah trak pikap yang dipandu oleh seorang warga asing membawa peti sejuk beku yang telah dibalut dengan plastik dan pita hitam sebelum menurunkan peralatan tersebut di rumah tempat ia ditemui.
Pihak polis juga percaya bahawa berlakunya peras ugut selepas menemui Hans Peter telah memindahkan wang sebanyak dua juta baht dari akaun bank sebelum kematiannya.
Kes ini melibatkan aset. Pelaku seperti tahu bahawa Hans mempunyai aset. Pasukan penyiasat akan mencari sama ada pelaku kenal Hans secara peribadi atau pun tidak.”
Seorang warga Jerman ditahan
Seorang lelaki yang dikenali sebagai Oraf Thorsten Brinkmann telah ditahan pada petang Selasa berhubung pembunuhan Hans Peter Walter Mack.
Oraf yang merupakan seorang warga Jerman ini telah dikenalpasti sebagai suspek utama kes pembunuhan ini dan dia dituduh sebagai ketua operasi pembunuhan ini.
Menurut laporan, Oraf telah meminta khidmat guaman dan menafikan semua tuduhan yang dilemparkan ke atasnya. Manakala, salah seorang suspek utama lain, Zahrouk Kareem Uddin seorang warga Pakistan berusia 27 tahun masih gagal dikesan. Dia disyaki sebagai lelaki warga asing yang bertanggungjawab membawa mayat Hans Peter menggunakan trak pikap.
Hans Peter Walter Mack seorang pedofil?
Menurut laporan media tempatan, Hans Peter pernah ditahan polis pada Februari 2018 atas tuduhan pemerdagangan kanak-kanak.
Hans Peter telah ditahan selepas dia telah mengekori seorang lelaki Amornrat Katuey yang menaiki motosikal sambil membawa seorang perempuan berusia 17 tahun di sebuah rumah di Nong Prue.
Pihak polis kemudiannya menemui Amornrat dan seorang perempuan di dalam rumah tersebut selepas menerima laporan mengenai pelacuran bawah umur.
Ketika serbuan dibuat, Hans Peter telah muncul dari salah sebuah bilik tanpa memakai baju manakala seorang budak perempuan berusia 15 tahun telah ditemui di dalam bilik tidur dengan hanya memakai tuala. Remaja tersebut memberitahu polis bahawa lelaki tersebut telah membayarnya untuk mendapatkan perkhidmatan seksual.
Amornrat dan Hans Peter kemudiannya dituduh terlibat dalam pemerdagangan manusia dan mengupah kanak-kanak bawah umur untuk melakukan perkhidmatan seksual. Bagaimanapun, tak dapat dipastikan sama ada ahli perniagaan Jerman ini telah didakwa atau dikenakan apa-apa tindakan undang-undang susulan tangkapan tersebut.
Siasatan lanjut mengenai pembunuhan Hans Peter Walter Mack masih dijalankan.
Sumber: opoyi, opoyi, Daily Mail, Thai PBS World
Baca: Kim Sung Jae: Kematian Bintang K-pop Paling ‘Misteri’, 28 Kesan Jarum Ditemui Pada Mayatnya