Baru-baru ini, Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Sri Anwar Ibrahim telah merombak kabinet Malaysia pada 11 Disember 2023. Perkara ni adalah bertujuan untuk melancarkan kepimpinan dalam negara demi kesejahteraan rakyat.
Selain tu, kita juga dapat lihat beberapa muka baru dalam kabinet, tak kurang juga beberapa bekas menteri yang buat ‘comeback’ selepas kabinet dirombak. Jadi, kalau korang nak tahu siapa, korang baca je kat bawah ni.
1. Datuk Seri Johari Abdul Ghani
Beliau memulakan kerjayanya dalam dunia politik sejak tahun 1988 lagi di mana dia memegang pelbagai jawatan dalam UMNO dan Barisan Nasional cawangan Titiwangsa suatu ketika dulu. Yang kagumnya, beliau juga merupakan salah seorang ahli Persatuan Berkanun Akauntan Bertauliah pada tahun 1991.
Dulu, beliau pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan namun, setelah satu rombakan Jemaah Menteri dilakukan, beliau memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan II. Akan tetapi, selepas pilihan raya umum ke-14 berakhir, beliau telah dikalahkan oleh calon Pakatan Harapan sekaligus menyebabkan jawatannya gugur.
Pun begitu, selepas rombakan kabinet terbaru dibuat, beliau telah comeback dengan jawatan baru iaitu Menteri Perladangan dan Komoditi Malaysia.
Artikel berkaitan: “V. Sivakumar menteri tunggal digugurkan” – Ini Senarai Penuh Rombakan Kabinet Diumumkan PMX
2. Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly Ahmad
Bekas menteri kesihatan ini dilahirkan pada tanggal 1 Januari 1956 di Negeri Sembilan. Sebelum berkecimpung dalam bidang politik, beliau pernah menjadi seorang pensyarah di fakulti perubatan dan hospital Universiti Sains Malaysia.
Beliau juga merupakan seorang pemikir dan penganalisis politik di peringkat nasional dan antarabangsa sejak tahun 70-an lagi dan telah menulis beberapa buku berilmiah seperti Negara Berkebajikan dan Blindspot.
Kini, beliau yang pernah berkhidmat dengan beberapa parti telah dilantik semula dengan jawatan yang sama.
3. Gobind Singh Deo
Gobind Singh Deo A/L Karpal Singh merupakan seorang peguam dan ahli politik di Malaysia. Dia juga merupakan bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia dari tahun 2018 hingga 2020. Menariknya, beliau adalah orang berketurunan Sikh dan Punjabi yang pertama dilantik sebagai ahli dalam kabinet menteri negara ni.
Dulu, dia pernah terpalit dengan kontroversi kerana menghina Dewan Rakyat berhubung tindakannya menuduh Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai pembunuhan Altantuya Shaariibuu yang viral suatu ketika dulu. Disebabkan tu, dia digantung dari Parlimen selama 12 bulan pada 2009.
Akan tetapi, selepas kabinet PM Anwar dirombak, Gobind yang digelar ‘singa kecil Puchong’ ini buat kemunculan semula dalam kementerian baru yang ditubuhkan sebagai Menteri Komunikasi dan Digital.
Artikel berkaitan: Sumber Dakwa PMX Akan Lakukan Rombakan Kabinet, Penjawat Awam Kanan Selepas PRN
4. Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad
Satu-satunya bekas menteri wanita, Noraini Ahmad juga membuat comeback selepas kabinet Jemaah Menteri dirombak baru-baru ni. Beliau juga pernah menjawat jawatan Menteri Pengajian Tinggi sebanyak dua kali pada zaman Perdana Menteri Malaysia yang ke-8 dan ke-9.
Namun begitu, pada Ogos 2021, Ketua Wanita UMNO itu telah meletakkan jawatannya di kementerian tersebut berdasarkan keputusan dari Majlis Kerja Tertinggi parti politik tu. Tapi, dia telah diserap semula ke dalam kabinet baru dengan memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Malaysia.
5. M. Kulasegaran
M. Kulasegaran A\L V. Murugeson merupakan Naib Pengerusi Kebangsaan DAP dan pernah memegang jawatan Menteri Sumber Manusia Malaysia ketika kerajaan Pakatan Harapan memerintah negara. Kini, dia dilantik semula ke dalam kabinet dengan jawatan baru iaitu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi).
Sumber: Majoriti Official