Bak kata pepatah Arab, “Man jadda wa jadda.” Siapa yang berusaha, dialah yang akan menemui kejayaan! Tiada jalan pintas untuk mendapatkan sesuatu, hanya dengan usaha dan berkat doa pasti seseorang itu akan mendapat apa yang diinginkan.
Namun lain pula kisahnya dengan seorang lelaki ini apabila dia cuba menggunakan jalan pintas untuk menjadi seorang anggota polis. Pun begitu, impiannya musnah apabila dia telah ditipu oleh ejen pengiklan jawatan kosong.
Menurut Sinar Harian, mangsa mula terpedaya apabila terbaca mengenai tawaran iklan jawatan kosong pengambilan polis secara ‘kabel’ melalui aplikasi WeChat yang membolehkannya memilih jawatan yang dihajati di dalam pasukan polis.
Walau bagaimanapun, untuk mendapat jawatan yang diinginkan, mangsa perlulah membuat sedikit bayaran. Fuh dah nampak dah taktik dia tu!
Oleh itu, mangsa telah berhubung dengan wanita bernama Suhaila, kononnya admin bagi kumpulan aplikasi tersebut. Manakala seorang pegawai kanan polis yang bertugas di Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat Bukit Aman bernama Inspektor Fahmi dikatakan akan membantu mangsa untuk mendapatkan jawatan tersebut.
Mangsa telah diminta untuk mengajak beberapa orang rakannya yang berminat memohon jawatan tersebut juga. Disamping itu, dia juga harus membayar wang sebanyak RM1000.
Terpedaya dengan janji-janji yang ditabur, mangsa memasukkan RM1000 ke dalam akaun Zuraida Abdul Manas dan dia diyakinkan akan mendapat pangkat sarjan di dalam pasukan polis. Mangsa juga diberitahu akan mengikuti kursus sarjan mulai 14 Julai tahun lalu. Amboi senangnya dapat pangkat sarjan!
Namun apabila tarikh tersebut tiba, mangsa diberikan pelbagai alasan untuk meyakinkannya akan mendapat jawatan tersebut. Meskipun begitu, mangsa berasa tidak berpuas hati dan ditipu, lalu laporan polis telah dibuat mengenai hal tersebut.
Menurut Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu, hasil dari semakan akaun Zuraida Abdul Manas, mereka telah berjaya menangkap tertuduh iaitu Hairulnizam Yunus pada 25 September lalu.
“Hasil daripada tangkapan ini, IPD Raub telah berjaya menyelesaikan empat kes yang melibatkan kerugian berjumlah RM3,000 di mana setiap mangsa didorong untuk membuat bayaran antara RM500 ke RM1,500 yang menggunakan modus operandi yang sama bagi kes yang melibatkan penipuan dalam tawaran jawatan kosong yang tidak wujud dalam pasukan polis,” katanya.
Aduhai ramainya yang tertipu!
Susulan dari kes ini, pihak polis meminta orang ramai untuk mengambil langkah berjaga-jaga akan penipuan ejen pengiklan dan menyelidik sesuatu iklan terlebih dahulu sebelum menerima jawatan yang ditawarkan secara dalam talian.
Malah PDRM juga menegaskan bahawa mereka tidak melantik mana-mana agen untuk membuat iklan atau kutipan wang untuk permohonan jawatan dalam polis. Sebelum membuat permohonan, pastikan iklan jawatan kosong dalam polis telah disahkan PDRM dan ia boleh didapati daripada iklan di akhbar utama dalam negara atau laman web rasmi PDRM.
Tiada jalan pintas dalam mencapai kejayaan. Kalau nak jadi polis mudah saja. Mohonlah melalui saluran yang betul dan layari laman web SPA untuk keterangan lanjut. Tak kenakan bayaran pun!
Baca: Wanita Bayar RM50,000 Untuk Bebaskan Anak Yang Ditangkap ‘Polis’, Rupa-rupanya…