Setiap kali raya, pasti ada satu dua drama yang meruntun perasaan korang bila menontonnya. Drama-drama ni memang sangat evergreen dan kalau diulang berpuluh kali pun korang mesti meleleh air mata punyalah kalah tengok filem hindustan!
Ini kami senaraikan 5 drama sedih yang pernah ditayangkan di kaca televisyen setiap kali menjelang Aidilfitri.
1. Ketupat Terakhir
Drama yang diarahkan pengarah air mata, Rashid Sibir ini sudah pasti akan bikin anda menangis! Dilakonkan oleh Azhan Rani, Nabila Huda dan Fauziah Nawi sebagai ibu, ia mengisahkan Mak Nen yang sentiasa mengenang saat-saat bahagia bersama anak tunggalnya, Rahim.
Namun Rahim yang disayangi tu telah jauh berubah semenjak berkahwin. Mak Nen yang rindukan anaknya bertekad untuk beraya dengan Rahim pada tahun ni, walau bagaimanapun Rahim dan isterinya, Dira pulak nak bercuti ke Paris. Ending kisah ni bakal meruntun hati anda.
2. Sinar Penghujung Takbir
Drama lakonan dramatis terkenal seperti Ellie Suriati Omar, Norlia Ghani dan Didie Alias ni mengisahkan Senah, seorang ibu yang cacat penglihatan berharap dapat ditemukan dengan anak lelakinya sendiri. Senah dengan anaknya terpisah gara-gara suami Senah yang mengambil budak tersebut dan berjanji untuk memulangkan si anak pada Hari Raya pertama.
3. Pondok Buruk
Drama yang sentiasa diulang tayang di kaca TV ni tetap berbisa walaupun dah lama ditayangkan sejak 2002 dulu. Dilakonkan Fauziah Nawi, Ismail Din, Rosyam Nor, Jalaluddin Hassan dan Vanidah Imran ni mengisahkan pasangan suami isteri Mak Jah dan Pak Mat yang hidup serba kekurangan. Makan minum mereka tak menentu dan rumah pulak uzur menanti roboh.
Masalah bertambah berat pulak bila Pak Mat terkena penyakit kencing manis sehingga kakinya terpaksa dipotong. Filem arahan Rashid Sibir ni tinggalkan pesanan yang mendalam kepada mereka yang sisihkan diri daripada keluarga terutama ibu bapa.
4. Ketupat Daun Kering
Seperti drama-drama sedih lain, gandingan pelakon otai Rosyam Nor dan Fauziah Nawi memang menjadi! Drama Ketupat Daun Kering terbitan Suhan Movies ni mengisahkan seorang ibu yang kena terima kenyataan apabila empat anaknya mati akibat kemalangan jalan raya. Paling menyedihkan ialah bila si ibu terpaksa terima jenazah anaknya pada pagi hari raya. Aduhai, ibu manalah yang kuat terima dugaan macam ni kan..
5. Abah Tak Balik Malam Raya
Drama lakonan Azhan Rani, Faezah Elai dan pelakon cilik Rykal Iskandar ni mengisahkan Basri, anggota penyelamat yang berkahwin dengan Murni. Mereka berdua ada dua orang anak iaitu Bobby dan Zara. Walau bagaimanapun, Basri meninggal dunia sehari sebelum bulan Ramadan.
Melihat adiknya selalu terkena asma setiap kali rindukan bapa mereka, Zara pujuk adiknya dengan kata bahawa ayah mereka akan pulang pada malam raya nanti. Macam mana Bobby harus berdepan dengan realiti yang abahnya sudah tiada dan takkan pulang pada malam raya nanti?
Ingat lagi tak drama-drama sedih yang pernah ditayangkan masa raya lepas? Haa raya ni boleh lah tengok semula drama-drama ni kalau bosan-bosan. Tapi jangan sampai bengkak mata pulak ye menonton. Dah tak lawa raya nanti. Hiks!
Baca: Throwback: 10 Filem Senario Buat Kita Tak Kering Gusi Dulu-dulu