Dalam dunia sekarang, susah untuk kita bayangkan dunia tanpa internet. Kita gunakan internet untuk mendapatkan jawapan, beli barang, main game, bercakap dengan orang, tengok filem, dapatkan penunjuk arah dan macam-macam lagi. Korang pun kena guna internet untuk baca artikel ni.
Keupayaan untuk mendapatkan maklumat di hujung jari jelasnya telah mengubah kehidupan manusia, lebih-lebih lagi di zaman sekarang. Tapi korang pernah tak terfikir macam mana internet ini tercipta?
Kalau korang nak tahu, penciptaan internet ini telah mengambil proses yang agak panjang. Ia bermula dengan Nikola Tesla, pencipta cerdik yang mula membayangkan sistem dunia tanpa wayar pada awal kurun ke-20. Dia mula berfikir tentang alat yang membolehkan manusia berkomunikasi dengan jarak yang jauh. Tapi internet yang kita kenal hari ini telah mempunyai ramai pencipta tau. Jom ketahui sejarahnya.
Internet: Dari Nikola Tesla ke Jabatan Pertahanan
Internet telah bermula sebagai satu idea lama sebelum penciptaannya pada akhir kurun ke-20. Pada tahun 1926, Nikola Tesla telah memikirkan tentang satu teknologi yang membenarkan manusia untuk melihat dan mendengar antara satu sama lain seperti bercakap depan-depan walaupun terhalang dengan jarak beribu-ribu batu. Dia juga turut membayangkan teknologi tersebut dapat dimuatkan di dalam satu alat yang sangat kecil sehingga seseorang itu boleh membawanya di dalam poket baju.
Pencipta lain juga turut membayangkan satu sistem yang berkaitan pada dekad berikutnya. Mereka membayangkan terdapat satu pangkalan data untuk buku dan media dan kemudiannya satu rangkaian yang boleh dikongsikan melalui komputer.
Di tahun 1960-an, Jabatan Pertahanan mula menggunakan satu teknologi baru yang dipanggil “penukaran paket” untuk menghantar data elektronik. Rangkaian Agensi Projek Penyelidikan Lanjutan (ARPANET) mereka telah menggunakan penukaran paket bagi menghubungkan beberapa komputer kepada satu rangkaian.
Pada 29 Oktober 1969, ARPANET telah berjaya menghantar mesej pertama di antara makmal kajian di UCLA dan Institut Penyelidikan Stanford. Mesej “LOGIN” yang cuba dihantar ini telah merosakkan rangkaian menyebabkan institut tersebut hanya mendapat “L-O”.
Ini menjadikan mesej pertama yang berjaya dihantar oleh internet adalah ‘LO’ yang membawa maksud ‘Lo and behold’. Profesor Sains Komputer UCLA, Leonard Kleinrock yang mengetuai kumpulan yang menghantar mesej mengatakan:
Kami tak rancang perkara tersebut, tapi kami tak mungkin dapat menghantar mesej ringkas dan kuat yang lebih baik daripada itu.”
Namun ini bukanlah penciptaan internet yang digunakan secara menyeluruh di seluruh dunia sekarang. Kerana sistem tersebut mempunyai masalah yang besar iaitu wujudnya pelbagai rangkaian ketika itu yang bercakap dalam “bahasa” yang berlainan ketika mengantar data dan tak dapat bercakap dengan satu sama lain.
Internet: Mencipta komputer yang boleh bercakap antara satu sama lain
Rangkaian yang ada pada komputer awal tak boleh nak berkomunikasi antara satu sama lain kerana tak boleh nak memahami bahasa mereka. Jadi, pada tahun 1970-an, dua penyelidik ARPANET bernama Robert Kahn dan Vint Cerf telah mula mencari penyelesaian masalah ini.
Dua lelaki ini kemudiannya mencipta satu bahasa yang rangkaian boleh kongsikan di mana ia membenarkan komputer untuk bercakap sesama mereka. Protokol Kawalan Penghantaran dan Protokol Internet mereka, atau TCP/IP, mewujudkan sistem untuk pemindahan data yang boleh dipercayai, tetapi cukup fleksibel sehingga ia boleh dikembangkan.
Bila internet tercipta?
Jadi bila sebenarnya internet bermula? Walaupun ada yang memberikan kredit kepada Kahn dan Cerf sebagai bapa internet, internet yang kita kenal hari ini terus berkembang selepas ARPANET mengambil TCP/IP sebagai model komunikasi mereka pada 1 Januari 1983.
Namun, internet seperti yang kita gunakan sekarang bermula sedekad selepas tarikh tersebut. Ia bermula apabila Organisasi Penyelidikan Nuklear Eropah, Tim Berners-Lee membuat HyperText Markup Language (HTML) pada awal 1990-an. Tak lama selepas itu, World Wide Web ciptaan Berners-Lee telah dikeluarkan kepada orang awam dan ia merupakan permulaannya.
Seawal tahun 1992, orang-orang biasa mula bercakap tentang “melayari internet” untuk pertama kali. Pada tahun 1993, ada sebanyak 600 laman web di dalam talian dan pada 1994, Yahoo dilancarkan dan laman web ini telah diikuti oleh beberapa laman yang kita kenal hari ini seperti Amazon, Craiglist, dan eBay.
Tiga dekad berikutnya, pada 2021, seramai 4.66 bilion orang telah disambungkan kepada internet iaitu separuh daripada populasi bumi. Internet telah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian dan digunakan untuk pelbagai benda dari membeli belah dalam talian, mencari rumah sehinggalah mencari cinta. Kalau takde internet ni min tak jumpa jodoh tau!
Jadi, bila sebenarnya internet ini tercipta? Ia merupakan soalan yang agak sukar. Idea tentang internet ini telah bermula sejak awal kurun ke-10 dan pada tahun 1960-an saintis mula mencipta rangkaian. Penyelidik pada tahun 70-an dan 80-an pula telah berjaya mengembangkannya supaya rangkaian ini boleh bercakap dengan satu sama lain serta penciptaan HTML dan World Wide Web (WWW) telah membantu mencipta internet yang kita kenal sekarang.
So sekarang korang dah tahu macam mana internet ni mula diciptakan, semua bermula dengan idea sahaja.
Sumber: ati
Baca: Ribut Besar Di Angkasa Lepas: Saintis Ramal Bakal Berlaku ‘Kiamat Internet’?