Sekitar 28 Ogos tahun lalu, seorang remaja berusia 16 tahun ditemukan rentung gara-gara dua rakannya bergurau bermain api dalam tandas awam terbiar di Bandar Puncak Alam, Selangor.
Semalam, mahkamah Majistret Kuala Selangor telah menjatuhkan hukuman kepada dua remaja terbabit iaitu hukuman khidmat masyarakat mencuci tandas selama 100 jam dalam tempoh enam bulan.
Artikel berkaitan: Gurauan Membawa Maut, Remaja Lelaki Temui Rentung Dalam Kebakaran Di Tandas Awam
Artikel berkaitan: Bakar Tandas Hingga Sebabkan Kematian Rakan, 2 Remaja Dihukum Cuci Tandas Selama 6 Bulan
Bagaimanapun, ibu kepada Allahyarham Muhammad Damin Mikhail Kamsol berkata, dia tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah dan berhasrat memfailkan saman ganti rugi terhadap dua remaja yang dikatakan menyebabkan kematian anaknya itu.
Katanya, tindakan saman tersebut itu sebagai pengajaran terhadap gurauan kasar dua remaja berkenaan dan orang lain agar tidak mengulangi perbuatan sama.
“Ini melibatkan anak saya. Kalau berlaku kepada keluarga tertuduh apa perasaan mereka.
“Jadi, saya mungkin akan meneruskan kepada saman ganti rugi. Perkara ini akan dibincangkan bersama peguam saya nanti,” kata Hizanawati Abu Bakar.
Menurutnya, kejadian yang menimpa anaknya itu telah meninggalkan trauma mendalam kepadanya.
“Saya tidak pernah ke lokasi kejadian lagi. Sebelum ini, saya pernah melihat ada kesan tapak tangan pada cermin tingkap selain kesan kotoran pada dinding dipercayai arwah berdiri bersandar kemudian terduduk sebelum meninggal dunia.
“Memang sedih dirasakan dan berbekas teruk dalam hati ini,” katanya.
Tambahnya, dia mendakwa apa yang diperkatakan dua remaja terbabit dalam mahkamah dengan dimaklumkan kepadanya sebelum ini adalah berbeza.
Sumber: Kosmo!