Mahkamah Persekutuan hari ini telah membenarkan permohonan bekas pekerja kilang papan, Mohammad Awari menggantikan hukuman mati yang diterimanya kepada penjara 40 tahun atas kesalahan membunuh dan merogol seorang jururawat di Gua Musang sembilan tahun lalu.
Panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Harmindar Singh Dhaliwal berkata walaupun jenayah yang dilakukan oleh Awari agak luar biasa, namun satu faktor pengurangan telah melepaskan dia daripada tali gantung iaitu umurnya yang masih muda ketika kejadian.
Awari bagaimanapun diarahkan untuk dikenakan sebatan sebanyak 12 kali dan menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap iaitu 1 Mac 2015.
Kalau korang nak tahu, sebelum ini rayuannya untuk mengetepikan hukuman mati pernah ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 11 April 2019 dan Mahkamah Persekutuan pada 7 Oktober 2020 selepas mengambil kira kekejaman yang dilakukan oleh Awari yang melakukan jenayah tersebut sambil dilihat oleh anak lelaki mangsa yang baru berusia lima tahun pada ketika itu.
Artikel berkaitan: Pembunuh Kekal Ke Tali Gantung, #Throwback Kes Dirang Yang Pernah Menyayat Hati Rakyat M’sia
Artikel berkaitan: Ken McElroy: Kisah Pembuli Kejam Dibunuh Mangsanya Tapi Sampai Sekarang Tak Dapat ‘Pembelaan’ Sebab…
Kes Awari bunuh dan rogol jururawat
Ini kes pembunuhan itu. Yashmin Fauzi dibunuh dengan secara zalim. pic.twitter.com/QXoaKRzfBf
— Hazrey (@Hazrey) February 1, 2018
Muhammad Awari telah didapati bersalah membunuh mangsa, Yashmin Fauzi yang merupakan seorang jururawat dan isteri seorang polis bantuan pada 1 Mac 2015 di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Batu Papan, Gua Musang pada jam 12.20 malam hingga 2 pagi.
Siasatan mendapati, Awari telah memecah masuk ke dalam rumah yang didiami oleh mangsa dan keluarganya atas tujuan untuk merompak, namun dia telah membunuh dan merogol Yashmin di hadapan anak sulungnya yang ketika itu baru berusia lima tahun.
Awari telah menetak leher mangsa dan merogolnya ketika darah sedang membuak keluar dan tindakan kejamnya ini telah menyebabkan mangsa mengalami 11 kecederaan antaranya di leher dan tangan.
Lelaki ini telah menggunakan parang dan mengelar bahagian kiri dan kanan leher mangsa sekaligus menunjukkan yang dia berniat untuk membunuh.
Selepas melakukan jenayah kejam ini, Awari telah keluar untuk “meraikan” perbuatannya dengan meminum tujuh botol arak di sebuah restoran berhampiran dan mencuri wang RM200 serta sebuah telefon bimbit milik mangsa yang berusia 25 tahun pada ketika itu.
Tiga anak baring di atas tilam berlumuran darah
Ketika suami mangsa pulang dari kerja pada jam 2 pagi, 1 Mac 2015, dia telah melihat isterinya terbaring di atas jalan tar di hadapan rumah dengan hanya berselimut tanpa pakaian.
Dipercayai, mangsa telah dibawa keluar oleh Awari atau keluar sendiri untuk meminta bantuan dari jiran-jiran.
Melihat keadaan ini, suami mangsa telah pergi ke rumah bapanya untuk meminta pertolongan dan mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Gua Musang manakala suaminya melihat tiga anaknya yang berumur enam bulan, tiga tahun dan lima tahun pada ketika itu sedang baring di atas tilam yang berlumuran darah.
Ketika membela diri di mahkamah, Awari pernah mengatakan yang mangsa terjaga dan terkejut ketika menyedari biliknya dimasuki.
Malah dalam keterangan, Awari mengatakan mangsa mengalami kesukaran bernafas akibat kelaran di lehernya ketika dirogol.
Anak sulung Yashmin memberitahu polis bahawa dia telah melihat “lelaki jahat” menyerang dan membunuh ibunya dan kanak-kanak tersebut pada ketika itu berada dalam keadaan terkejut dan trauma. Namun begitu, dua anaknya yang lain tak menyedari apa yang berlaku kerana sedang tidur.
Dalam satu temubual pada April 2023, suami Yashmin, Mohd Azrul Isahak mendedahkan walaupun selepas lapan tahun pembunuhan berlaku, anaknya masih trauma dan bersedih atas kematian ibunya.
Nota terakhir bantu tangkap pelaku
Yashmin telah disahkan meninggal dunia di Hospital Gua Musang pada 6.40 pagi hari yang sama. Walaupun mengalami kecederaan parah, mangsa sempat meninggalkan nota bertulis yang memberitahu identiti orang yang menyerangnya sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir.
“anak abe mat tanah putih yang rogol dan kelar samun duit”
Ekoran ini, Ketua Polis Kelantan pada ketika itu, Datuk Mazlan Lazim mengeluarkan kenyataan mengatakan bahawa dengan maklumat yang diterimanya mengenai identiti pembunuh, mereka yakin kes ini dapat diselesaikan.
Tak lama selepas itu, seorang lelaki berusia 22 tahun telah ditahan dan disiasat dan pihak polis menemui sebilah parang dipercayai merupakan senjata pembunuhan. Kemudian, pada 11 Mac 2014, Mohammad Awari telah didakwa atas tuduhan membunuh.
Sumber: Malaysiakini, X