in

Hospital Al Ahli Gaza Dibedil, Sekurang-kurangnya 500 Maut Dalam Serangan Udara & Jumlah Dijangka Meningkat

Hospital Gaza Dibedil

Saat kita sedang nyenyak dibuai mimpi malam semalam, saudara kita yang berada di Palestin telah bergelut dengan serangan udara yang dilakukan Israel apabila sekurang-kurangnya 500 orang dilaporkan maut dalam pengeboman ke atas Hospital Al-Ahli di Gaza.

Menurut Al-Jazeera, Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan bahawa serangan tersebut telah mengorbankan pesakit, doktor dan ratusan penduduk Palestin di hospital yang menempatkan ribuan orang awam yang menerima rawatan perubatan dan perlindungan daripada serangan tanpa henti.

Artikel berkaitan: Gara-gara ‘Save Gaza’, Azizulhasni Awang Hampir ‘Ditendang’ Keluar Kejohanan

Artikel berkaitan: “Apa dosa kami?” – Wawancara 2 Kanak-Kanak Palestin Cetus Sebak, Kongsi Keperitan Hidup Tanpa Ayah

“Ini adalah keterlaluan”  

Menurut Sinar Harian, jika disahkan, angka kematian berkenaan menjadi antara yang tertinggi bagi satu serangan udara tunggal rejim Zionis sejak 2008.

Ini adalah keterlaluan dan sekali lagi ia menunjukkan sikap tidak menghiraukan nyawa orang awam,” kata Agensi Bantuan dan Pekerjaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Timur Dekat (UNRWA).

Hmspi1810 1697586976

Raja Jordan Abdullah II pula menggelar serangan itu sebagai ‘pembunuhan beramai-ramai’ dan ‘memalukan manusia’.

Serangan itu juga dikatakan berlaku sehari sebelum Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden akan melawat Israel dan Jordan.

Perkongsian daripada seorang doktor yang bertugas di hospital berkenaan juga mengundang sebak di hati netizen, apabila ia memperlihatkan puluhan mayat yang sudah dikafankan berada di belakangnya.

Kami menerima banyak mayat yang terkorban hari ini dalam pembunuhan beramai-ramai. Ini betul-betul pembunuhan beramai-ramai menurut undang-undang! 

“Kalau kamu tahu apa itu undang-undang antarabangsa, hospital sepatutnya menjadi tempat yang selamat. 

“Ia sepatutnya menjadi tempat perlindungan untuk orang yang tiada tempat perlindungan. Dan ini merupakan jiran saya! Rumahnya telah musnah sepenuhnya. Dia cuba mencari tempat yang selamat di hospital,” katanya dengan nada sebak.

Rakaman Al Jazeera dari tempat kejadian telah menunjukkan anggota paramedik dan orang awam memasukkan mayat dalam beg atau menutupnya dengan selimut putih.

Percikan darah dan beberapa kereta yang telah terbakar juga dilihat berada di laman hospital yang gelap itu.

Sehingga setakat ini, hampir 3,000 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh dalam serangan Israel ke atas Gaza sejak perang meletus pada 7 Oktober lalu.

Al fatihah terhadap mereka yang terkorban dalam serangan ini. 

Sumber: Sinar Harian, Al Jazeera, X