in

“Hero semua orang” – Gong Yoo Ubah Undang-Undang Korea Selatan Melalui Filem ‘Silenced’, Ini Kisahnya…

Collage 45

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.

Siapa je yang tak kenal dengan pelakon popular Korea Selatan, Gong Yoo ni? Kalau korang peminat K-drama mesti korang pernah tengok lakonan dia dalam Coffee Prince dan dia juga turut memegang watak utama dalam filem popular Train to Busan.

Tapi, korang tahu tak yang Gong Yoo ni pernah menjadi tulang belakang kepada perubahan undang-undang di negaranya melalui filem Silenced? Jadi pada artikel kali ini, kita akan tengok sendiri macam mana penglibatan Gong Yoo di dalam filem Silenced ni telah menyebabkan berlakunya pergerakan besar-besaran sehingga membawa perubahan kepada undang-undang di Korea Selatan.


Artikel berkaitan: Nth Room: Kes Jenayah Eksploitasi Seksual ‘Online’ Paling Teruk Pernah Berlaku Di Korea Selatan

Artikel berkaitan: 5 Filem Misteri Korea Paling Best Korang Wajib Tonton, Confirm Puas Hati!

Kisah benar di sebalik filem Silenced

Silenced 1200.Jpg

Silenced merupakan sebuah filem yang dibuat berdasarkan kisah benar yang berlaku di Sekolah Gwangju Inhwa iaitu sekolah untuk kanak-kanak cacat pendengaran di Korea Selatan. Sekitar tahun 2000 dan 2005, beberapa kakitangan sekolah tersebut termasuk pengetuanya ditemui telah mendera pelajar-pelajar sekolah tersebut secara fizikal dan seksual.

Perkara ini terbongkar selepas seorang guru yang baru dilantik untuk mengajar di sekolah tersebut telah melaporkan perkara ini kepada kumpulan hak asasi manusia yang menyebabkan dia telah dibuang dari sekolah tersebut.

Sembilan mangsa telah melaporkan perkara ini kepada pihak polis namun siasatan hanya dibuat selepas salah seorang bekas pelajar sekolah tersebut mendedahkan perkara ini kepada stesen TV.

Gvtiwrswqaacz0H

Walaupun terdapat banyak bukti tentang penderaan yang dilalui oleh pelajar-pelajar kurang upaya ini, pelaku yang terlibat hanya menerima hukuman yang ringan. Daripada enam orang yang ditahan,  empat dari mereka telah menerima hukuman penjara sementara lagi dua telah dibebaskan serta merta kerana statut had jenayah mereka telah tamat tempoh. Pengetua dan pelaku lain telah menerima hukuman penjara dari 1 ke 5 tahun.

Tak cukup dengan itu, pelaku yang menerima hukuman penjara ini juga turut membuat rayuan untuk meringankan hukuman mereka dan mahkamah membuat keputusan untuk memberikan tempoh percubaan dan denda sebanyak 3 juta won kepada pengetua sekolah dan hukuman yang lebih ringan untuk yang lain-lain.

Walaupun protes telah dilakukan di bandar tersebut dan di hadapan sekolah, empat guru yang didapati bersalah sebelum ini telah dibenarkan untuk kembali mengajar. Kes ini kemudiannya telah dilupakan sehinggalah filem mengenai kes ini telah dikeluarkan dan membuatkan pihak polis buka semula kes penderaan ini.

Penglibatan Gong Yoo untuk menuntut keadilan

Ketika sedang berkhidmat sebagai tentera, Gong Yoo telah pun menjadi seorang pelakon yang berjaya melalui wataknya dalam drama-drama dan filem popular.

Menerusi salah satu temubual, Gong Yoo memberitahu yang selepas dia dinaikkan pangkat menjadi sarjan, orang atasannya telah memberikan satu novel bertajuk The Crubicle kepadanya. Selepas membaca buku tersebut, pada awalnya pelakon ini menyangka yang cerita yang dibacanya itu hanyalah cerita fiksyen.

Namun selepas mendapat tahu bahawa kes ini benar-benar berlaku, Gong Yoo telah membuat keputusan untuk melakukan sesuatu mengenai perkara ini. Dia kemudiannya telah menghubungi salah seorang pengarah dari agensi lakonannya dan meminta agar pengarah tersebut membaca buku The Crubicle.

Selepas perkhidmatannya sebagai tentera tamat, Gong Yoo telah berjumpa dengan pengarah tersebut dan mereka mula membincangkan tentang cara untuk membawa cerita itu ke skrin besar.

Di dalam filem Silenced, Gong Yoo telah membawa watak sebagai Kang In-ho, iaitu guru seni yang telah mendedahkan penderaan fizikal dan seksual yang berlaku ke atas pelajar di sekolah Gwangju Inhwa.

Penglibatan Gong Yoo tidak terhenti setakat itu, dia juga telah terlibat secara aktif untuk mempromosikan filem tersebut dengan melibatkan diri dengan pelbagai temubual, perbincangan awam dan penampilan awam di mana dia telah memberitahu tentang kes yang sebenar.

Gong Yoo turut menggunakan platform untuk memberitahu orang ramai mengenai kes Sekolah Gwangju Inhwa dan mengatakan yang filem ini bukan hanya fiksyen semata-mata tapi diambil dari kes sebenar yang berlaku dan telah memberikan impak yang besar kepada mangsa yang terlibat.

Reaksi orang ramai selepas tayangan filem Silenced

Optimize 1

Selepas filem ini ditayangkan, kes ini telah mendapat perhatian orang ramai dari seluruh negara dan menjadi fenomena budaya di Korea Selatan. Kejujuran yang dipamerkan di dalam filem ini menunjukkan penderaan yang dilalui oleh pelajar-pelajar sekolah ditambah pula dengan persembahan hebat dari Gong Yoo telah membuatkan ramai orang marah.

Bukan sahaja kerana penderaan yang berlaku, tapi ramai juga yang marah kerana pelaku-pelaku ini tidak menerima hukuman yang setimpal. Disebabkan ini, media sosial dipenuhi dengan seruan menuntut keadilan dan petisyen meminta pembaharuan dalam undang-undang telah menerima jutaan tanda tangan.

Tak cukup dengan itu, ramai orang telah terlibat dalam protes di seluruh negara meminta agar pelaku bertanggungjawab dan perubahan dalam sistem. Malah, Sekolah Gwangju Inhwa juga terpaksa ditutup selama dua bulan selepas filem Silenced ditayangkan.

Undang-undang Dogani

Img 3903 Dogani2011.Jpg

Ekoran perhatian yang diterima dari filem ini, kerajaan terpaksa membuat tindakan pantas. Tak sampai sebulan selepas filem ini ditayangkan, Dewan Negara Korea Selatan telah meluluskan beberapa siri pindaan undang-undang yang kemudiannya dikenali sebagai “Undang-undang Dogani” yang diambil dari tajuk filem tersebut.

Undang-undang Dogani telah membuat beberapa perubahan kritikal, antaranya:

Penghapusan statut had: Salah satu pembaharuan yang paling ketara ialah penghapusan statut had untuk jenayah seksual terhadap kanak-kanak bawah umur dan individu kurang upaya. Perubahan ini bermakna bahawa mangsa boleh mendapatkan keadilan tanpa mengira berapa lama masa telah berlalu sejak jenayah itu dilakukan, sekaligus mengakui trauma yang dilalui oleh mangsa adalah sepanjang hayat.

Peningkatan hukuman terhadap jenayah seksual: Undang-undang ini telah memperkenalkan hukuman yang lebih berat terhadap jenayah seksual lebih-lebih lagi jika ia melibatkan orang bawah umur dan kurang upaya. Hukuman maksimum telah dinaikkan dan rangka kerja undang-undang diselaraskan supaya jenayah seperti ini akan dihukum dengan hukuman yang berat.

Pengawasan institusi yang lebih tegas: Perubahan ini juga turut menambahbaik pengawasan untuk institusi yang menjaga orang-orang yang senang terdedah dengan jenayah seperti sekolah untuk kanak-kanak kurang upaya. Ia dibuat bagi menghalang penderaan yang berlaku di Sekolah Gwangju Inhwa daripada berulang.

Perlindungan kepada pemberi maklumat: Undang-undang Dogani juga turut memperkenalkan peruntukan untuk melindungi pemberi maklumat yang mendedahkan tentang penderaan bagi memastikan individu seperti cikgu yang dilakonkan oleh Gong Yoo di dalam Silenced terselamat.

Peranan Gong Yoo dalam filem Silenced menandakan satu detik penting dalam kerjayanya, ia telah mengubahnya daripada menjadi seorang pelakon yang disayangi kepada simbol keadilan sosial. Gong Yoo kini terus menjadi penyokong kepada isu-isu sosial dan telah menggunakan platformnya untuk bersuara mengenai isu-isu seperti hak asasi manusia, pendidikan, dan perlindungan terhadap golongan yang terpinggir.

Dalam temuramah selepas tayangan filem ini, Gong Yoo menyatakan bahawa Silenced adalah salah satu projek yang paling mencabar dan memuaskan yang pernah dilakukannya. Dia mengakui tekanan emosi yang dialami ketika melakonkan kisah ini, tetapi menekankan bahawa kesan filem tersebut ke atas masyarakat menjadikan semua usahanya ini berbaloi.

Sumber: X

Ikuti kami di Facebook, Youtube, Twitter, and Instagram untuk berita terkini setiap hari.