Seorang peserta himpunan motosikal Yamaha RXZ maut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 1.5, Jalan Pasir Besar–Palong, di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi, mangsa yang dalam perjalanan untuk menyertai perhimpunan Legasi 04 RXZ X 125 ZR Melaka Attack 2025 disahkan meninggal dunia selepas terlibat dalam perlanggaran membabitkan dua buah motosikal Yamaha RXZ dan sebuah kereta.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Amiruddien Sariman berkata, kemalangan tersebut melibatkan dua lelaki masing-masing berusia 39 dan 34 tahun yang menunggang motosikal Yamaha RXZ, serta sebuah Perodua Alza yang dipandu lelaki tempatan berusia 37 tahun bersama lima penumpang.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kedua-dua penunggang motosikal itu dalam perjalanan dari Paka, Terengganu menuju ke Melaka.

Artikel berkaitan: Santuni Anak Muda, Kehadiran UAI Ke Karnival RXZ Members 6.0 Buat Orang Ramai Terpegun
Artikel berkaitan: Konvoi Bertukar Tragedi, Seorang Lelaki Terbabas Dalam Perjalanan Ke Himpunan RXZ Members 7.0
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, penunggang motosikal yang berada di hadapan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar Perodua Alza.
“Pada masa sama, mangsa yang menunggang di belakang tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal rakannya, menyebabkan kedua-duanya terjatuh di atas jalan,” katanya.
Beliau berkata, penunggang motosikal yang berada di hadapan mengalami kecederaan parah di bahagian punggung, manakala mangsa yang berada di belakang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tampin untuk proses bedah siasat bagi menentukan punca kematian,” katanya.
Sumber: Harian Metro
