Masalah kesihatan mental bukanlah satu perkara yang boleh dibuat main kerana ia bukan saja memberi kesan buruk kepada diri sendiri, namun ia juga memberi kesan kepada orang di sekeliling pesakit mental ini.
Sebagai contoh, semenjak dua menjak ini hangat diperkatakan mengenai pelakon, Hafidz Roshdi yang telah menumbuk isterinya hingga cedera dan dia juga didakwa menghidap bipolar disorder oleh peguamnya.
Susulan daripada dakwaan itu, pihak mahkamah kemudian mengarahkan pelakon berkenaan untuk menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia bagi mendapatkan rawatan dan laporan kesihatannya, lapor Harian Metro.
Namun tahukah korang sebenarnya ada banyak lagi jenis-jenis kemurungan yang wujud dan tidak diketahui ramai?
Berikut enam jenis kemurungan menyeksa emosi dan fizikal yang dikongsikan oleh Dr Samhan di Twitter:
1. Gangguan depresi utama
Gangguan depresi utama (major depressive disorder) ini juga dikenali sebagai kemurungan klinikal yang boleh menjejaskan emosi, kelakuan dan juga fungsi fizikal kehidupan seseorang seperti selera makan dan kualiti tidur.
Seseorang yang mengalami kemurungan jenis ini akan hilang minat dalam semua aktiviti yang pernah mereka gemari dan mereka juga merasakan hidup tidak lagi bermakna.
2. Gangguan depresi berterusan (persistent depressive disorder)
Gangguan kemurungan berterusan atau disebut sebagai dysthymia ini adalah kemurungan tahap rendah yang kronik.
Tahap keterukannya adalah lebih rendah dari kemurungan utama (depression) dan mempunyai rasa sedih yang mendalam serta rasa putus asa yang berterusan.
Pesakit juga akan mengalami kekurangan tenaga dan ketidakpastian dalam buat keputusan.
3. Gangguan bipolar (bipolar disorder)
Gangguan jenis ini melibatkan kewujudan episod mood atau emosi yang bertenaga. Kadangkala, ia juga diikuti dengan episod-episod kemurungan.
Ia juga keadaan di mana seseorang alami perubahan mood melampau sama ada sedih (kemurungan) atau gembira (mania). Antara punca ia berlaku:
- Keturunan
- Tekanan hidup
- Pengambilan dadah, ubat atau alkohol
Tanda fasa sedih: rasa seperti nak bunuh diri, sedih melampau dan rasa letih
Tanda fasa mania: terlalu gembira, mudah rasa marah dan banyak cakap
4. Kemurungan bermusim (seasonal depression)
Kemurungan bermusim ini dikenali juga sebagai gangguan afektif bermusim yang mana pesakit akan merasa mood mereka terjejas dengan perubahan musim.
Ia biasanya dicetuskan melalui permulaan musim luruh dan berterusan sepanjang musim sejuk. Namun kemurungan ini jarang berlaku pada musim panas atau bunga.
5. Kemurungan selepas bersalin (postpartum depression)
Boleh dikatakan 80% daripada ibu baharu akan mengalami ‘baby blues’ dan simptom yang berlaku termasuklah dari segi perubahan emosi, kesedihan dan keletihan. Namun ia akan hilang dalam tempoh seminggu ke dua minggu.
Namun jika simptom ini berlaku lebih daripada beberapa minggu dan keparahannya makin meningkat, ia mungkin tanda-tanda berlakunya kemurungan selepas bersalin atau postpartum depression.
Antara simptom lain yang dikaitkan dengan postpartum depression:
- sindrom penarikan diri
- kurang selera makan
- pemikiran yang negatif
6. Kemurungan psikotik (psychotic depression)
Ia adalah kemurungan utama atau gangguan bipolar yang diikuti dengan keadaan halusinasi, khayalan atau paranoia yang disebut sebagai gangguan kemurungan utama dengan ciri-ciri psikotik.
Kemurungan ini juga dianggap sebagai kecemasan psikiatri dan memerlukan pesakit untuk dimasukkan ke wad psikiatri.
Apa-apapun sebagai peringatan, janganlah kita cakap orang yang mengalami masalah ini sebagai tidak dekat dengan Tuhan dan sebagainya sebab ia boleh memberi kesan negatif yang mendalam kepada mereka.
Sebaiknya kita berikanlah mereka ini kata-kata positif dan dorongan untuk terus sembuh serta jangan pandang rendah dengan penyakit mental ini kerana ia mampu meragut nyawa.
Baca: Mahkamah Perintah Hafidz Roshdi Buat Pemeriksaan Mental Lepas Mengaku Tak Bersalah Pukul Isteri