Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) telah menghalang kemasukan seramai 126 warga asing yang cuba menggunakan pelbagai helah untuk memasuki negara ini dalam satu operasi bersepadu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 (KLIA1) dan Terminal 2 (KLIA2) semalam.
Dalam operasi berkenaan, AKPS mengesan cubaan pelbagai pihak untuk menyelinap masuk dengan alasan yang meragukan.
Di KLIA1, seramai 35 lelaki warganegara Pakistan telah ditahan kerana gagal mematuhi syarat kemasukan yang ditetapkan. Siasatan mendapati mereka menggunakan tempahan penginapan palsu, tidak mempunyai wang saku yang mencukupi, dan tidak memiliki tiket penerbangan pulang.
Mereka disyaki bukan pelancong tulen dan dipercayai cuba memasuki Malaysia untuk tujuan bekerja secara tidak sah.
Sementara itu, operasi di KLIA2 pula menyaksikan seramai 91 pelawat asing dikenakan Notis Penolakan Masuk (NTL) atas pelbagai kesalahan dengan kumpulan terbesar yang ditahan adalah 64 warganegara India yang menggunakan helah transit.
Menurut kenyataan AKPS, kesemua warganegara India tersebut mendakwa hanya transit di Malaysia, tetapi siasatan mendapati mereka gagal mengemukakan bukti tempahan hotel dan tiket penerbangan pulang.
Dipercayai mereka sedang menunggu arahan dan tiket baharu daripada ejen bagi tujuan tinggal dan bekerja secara haram di Malaysia.
Selain itu, dua warganegara Pakistan turut ditahan kerana menggunakan ePass palsu, manakala 25 individu lain dari pelbagai negara juga dikenakan tindakan sama atas pelbagai kesalahan.
Kesemua 126 individu ini telah dikenakan Notis Penolakan Masuk (NTL) dan akan dihantar pulang ke negara asal mereka dengan penerbangan terawal dalam tempoh 24 jam.
Artikel berkaitan : AKPS Halang 21 Warga Asing Dari Masuk Malaysia Atas Pelbagai Kesalahan
Artikel berkaitan : Wanita Ditahan Gara-Gara Bertindak Agresif, Cederakan Pegawai Imigresen Di KLIA
Dalam pada itu, AKPS menegaskan komitmen mereka untuk sentiasa memastikan integriti pintu masuk negara terpelihara dan mengalu-alukan maklumat daripada orang awam untuk membantu membendung cubaan pihak tidak bertanggungjawab daripada memasuki Malaysia secara tidak sah.
Operasi bersepadu ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan AKPS untuk memperketat kawalan sempadan demi keselamatan dan kedaulatan negara.