Hari ini 8 Mac, genap 11 tahun sejak pesawat Malaysia Airlines MH370 hilang tanpa jejak. Tragedi ini terus menjadi salah satu misteri terbesar dalam sejarah penerbangan moden.
Walaupun pelbagai usaha pencarian telah dijalankan, lokasi sebenar dan nasib pesawat yang membawa 239 penumpang serta anak kapal itu masih belum diketahui.
Pada 8 Mac 2014, MH370 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menuju ke Beijing.
Namun, kurang sejam selepas berlepas, pesawat itu hilang daripada radar tanpa sebarang isyarat kecemasan.
Data satelit kemudian menunjukkan pesawat dipercayai menyimpang jauh daripada laluan asal, berakhir di suatu lokasi di Selatan Lautan Hindi.
Sejak itu, pelbagai operasi pencarian berskala besar telah dijalankan, termasuk usaha di dasar laut seluas lebih 120,000 kilometer persegi, menjadikannya salah satu pencarian paling mahal dan kompleks dalam sejarah.
Beberapa serpihan yang dipercayai milik MH370 ditemui di pesisir pantai Afrika dan Lautan Hindi, namun bukti kukuh mengenai lokasi bangkai pesawat masih belum ditemukan.
Artikel berkaitan: Misi Pencarian Selama Ini Dikatakan Salah Lokasi, Penyelidik Dakwa Misteri MH370 Dah Terungkai?
Artikel berkaitan: Malaysia Setuju Teruskan Pencarian MH370 Dengan Ocean Infinity
Selepas bertahun-tahun tanpa perkembangan baharu, Malaysia kini bersedia untuk meneruskan usaha pencarian dengan kerjasama syarikat Ocean Infinity.
Pencarian kali ini dijangka tertumpu di kawasan seluas 15,000 kilometer persegi di Selatan Lautan Hindi, berdasarkan petunjuk baharu yang dipercayai berwibawa.
Walaupun masa berlalu, kehilangan MH370 kekal sebagai luka yang belum sembuh bagi keluarga mangsa.
Bagi mereka, misteri ini bukan sekadar satu tragedi, tetapi sebuah kisah yang masih menanti jawapan.
Sumber: Astro Awani