Sebuah lori menyebabkan lebih 70 tiang elektrik tumbang di Samut Prakan, Thailand selepas kenderaan itu merempuh kabel elektrik ketika menaiki sebuah jambatan pada 30 Januari lalu, lapor portal The Thaiger.
Insiden berkenaan mengakibatkan bekalan elektrik terputus di beberapa kawasan berhampiran.
Kejadian itu berlaku di sebuah jambatan berhampiran pintu masuk kawasan perindustrian Bang Pu di Jalan Sukhumvit.
Bagaimanapun, lori terbabit dilaporkan terus meneruskan perjalanan selepas merempuh kabel elektrik berkenaan, menyebabkan kabel itu tertarik dan mengakibatkan beberapa lagi tiang elektrik tumbang.
Difahamkan, sebanyak 70 tiang elektrik terlibat di sepanjang laluan kira-kira dua kilometer.

Artikel berkaitan: Video Detik-detik Sebelum Kejadian ‘Sinkhole’ Di Singapura Tular Di Media Sosial
Artikel berkaitan: Lantai Tiba-tiba Pecah, Sekumpulan Penari Tarian Singa Terjatuh Ke Dalam ‘Sinkhole’
Tiang-tiang itu bukan hanya tumbang, malah peralatan elektrik pada tiang-tiang yang tumbang seperti transformer dan sebagainya juga mengalami kerosakan.
Walau bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
Menurut laporan The Nation, pemandu lori itu baru pertama kali melalui kawasan itu dan dia tidak perasan akan kewujudan kabel elektrik itu kerana pencahayaan yang tidak begitu terang di kawasan itu.
Akibatnya, lori itu terjerat kabel itu sekali gus menyebabkan tiang elektrik tumbang.
Susulan itu, sekitar 200 orang pegawai telah turun padang untuk membersihkan kawasan itu dari tiang-tiang yang tumbang.
Pasukan tambahan turut dibawa turun padang untuk membaiki semula tiang-tiang elektrik yang rosak agar bekalan elektrik dapat disambung semula kepada penduduk yang terkesan akibat kejadian tersebut.
Sumber: The Thaiger
