Seorang lelaki berumur 33 tahun tergamak bertindak membunuh bekas tunangnya di sebuah pusat beli belah yang terletak di Jalan Haji Saman, Kota Kinabalu, Sabah, hari ini.
Menerusi Harian Metro, kejadian itu berlaku kira-kira jam 12 tengah hari, mangsa yang berumur 22 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai itu ditemui terlentang di lantai dalam premis berkenaan dengan beberapa kesan tikaman pada tubuhnya.
Dalam masa yang sama, suspek yang masih berada di lokasi kejadian ditahan oleh pasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris berkata, sebaik sahaja pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu, pihak polis terus bergegas ke lokasi kejadian dan menemui mangsa pada waktu itu masih bernafas biarpun dalam keadaan berlumuran darah sebelum pegawai perubatan memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dengan kadar segera.
“Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia dan pemeriksaan awal mendapati beberapa kesan tikaman di tubuhnya.”
“Pasukan polis turut menahan seorang lelaki yang juga bekas tunang mangsa untuk siasatan lanjut. Polis turut merampas sebilah pisau dipercayai digunakan oleh suspek ketika kejadian.”
Dalam pada itu, Kalsom menyatakan bahawa pihaknya kini masih menjalankan siasatan termasuk mengenal pasti motif kejadian.
“Kita masih menyiasat motif kejadian dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk proses bedah siasat.”
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.
Baca : “Sempat telefon suami” – Wanita Dalam Pantang Ditemui Maut Dengan Tikaman Di Leher