Beberapa wakil rakyat tanah air termasuk Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Datuk Seri Rafizi Ramli dikejutkan dengan emel ugutan yang disertakan tangkap layar video palsu berasaskan kecerdasan buatan (AI), semalam.
Lebih mengejutkan, mereka turut diminta membayar sebanyak USD100,000 (kira-kira RM470,000) bagi mengelakkan video palsu itu disebarkan.
Dalam satu hantaran di Facebook, Fahmi berkata semakan mendapati emel itu menggunakan ayat hampir sama, disertakan tangkap layar serupa, dan dipercayai dihantar daripada alamat emel yang sama.
Antara yang menerima emel berkenaan ialah Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr. Taufiq Johari; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli; Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Najwan Halimi; Senator Manolan Mohamad; ADUN Kulim, Wong Chia Zen serta Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr. Fahmi Ngah.
Artikel berkaitan: Kes Anak Rafizi: Polis Jumpa Petunjuk Baharu, Bukit Aman Ambil Alih Siasatan
Artikel berkaitan: Fahmi Fadzil Beri Sebab Kenapa Pengendali Era FM Dikompaun Tinggi Berbanding Kes Harith & Cecelia

Fahmi berkata, beliau telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengesan serta menjejak penjenayah yang menggunakan aplikasi Gmail untuk menghantar emel ugutan tersebut.
Tegas beliau, menghantar komunikasi jelik dengan niat mengugut adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
“Tindakan ini juga boleh disiasat di bawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya,” katanya.
Menurutnya, Kerajaan MADANI tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menyalahgunakan teknologi dan rangkaian komunikasi untuk mengugut atau memperdaya rakyat.
“Segala usaha akan digembleng bagi memastikan penjenayah dibawa ke muka pengadilan demi menjamin keselamatan masyarakat,” tegasnya.
Sumber: Facebook Fahmi Fadzil