Media melaporkan kesemua aktivis misi bantuan ke Gaza, Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan secara tidak sah oleh tentera Israel dikumpulkan di pelabuhan Ashdod.
Terbaharu, tular satu video di media sosial memperlihatkan aktivis dan sukarelawan GSF dikumpulkan di satu kawasan yang dijaga oleh tentera Zionis.
Dalam video itu, semua aktivis dari pelbagai negara sedang duduk di atas lantai dan kelihatan Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir di hadapan mereka sambil bercakap dalam bahasa Ibrani.
Artikel berkaitan: “Jika kalian tonton video ni…” – Musa Nuwayri Tegaskan Aktivis Tidak Sentuh Makanan Yang Diberikan Ketika Ditahan
Difahamkan, menteri terbabit menghina aktivis sambil menuduh mereka sebagai pengganas. Malah dia turut memasuki salah satu kapal serta menuduh kononnya terdapat baham kimia di situ.
Bagaimanapun, sewaktu Ben-Gvir menuduh aktivis sebagai pengganas, mereka tidak gentar serta melaungkan ‘Free Free Palestine’.
View this post on Instagram
Kelihatan beberapa sukarelawan Malaysia
Video berkenaan turut dikongsikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman yang memaklumkan kelihatan penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah serta sukarelawan Malaysia di situ.
“Saat 0.06 tu nampak macam Kakja, Ika (The Helmis) dan geng-geng kitalah dalam video tu. Semangat depa tinggi, masa ditangkap pun cukup gagah dan redha.
“Kakja dan Ika khususnya, dua peserta akhir yang Sumud Nusantara pilih untuk menyertai flotila sebab depa sanggup lari dari Madinah untuk turut serta,” katanya.
Dalam pada itu, Nadir Al-Nuri menegaskan video berkenaan merupakan propaganda Israel untuk memperlihatkan aktivis sebagai pengganas.
Meninjau ke ruangan komen, netizen mendoakan dan berharap kesemua aktivis GSF berada dalam keadaan selamat.
Sumber: Instagram, Buletin TV3